Pembangkang kecam Netanyahu

TEL AVIV – Pemimpin utama pembangkang Israel, Gadi Eisenkot bersama pemimpin parti-parti Arab mengecam Benjamin Netanyahu selepas Perdana Menteri itu mendakwa wujud campur tangan asing dalam pilihan raya yang menyaksikan gabungan pemerintahnya kehilangan majoriti di Parlimen.

Parti Likud yang dipimpin Netanyahu menuduh parti-parti Arab di Israel “mencuri” pilihan raya, manakala agensi keselamatan domestik Shin Bet dilaporkan sedang menyiasat dakwaan bahawa mereka menerima pembiayaan haram daripada Qatar dan Turkiye.

Bagaimanapun, Kementerian Luar Qatar menafikan tuduhan itu yang disifatkannya sebagai “tidak masuk akal dan berbahaya”, selain menuduh ahli politik Israel menjalankan kempen maklumat palsu terhadap Doha.

Keputusan rasmi pilihan raya mengesahkan bahawa tiada satu pun blok politik sama ada yang dipimpin Netanyahu atau pembangkang Yahudi berjaya memperoleh majoriti kerusi di Parlimen.

Dua gabungan parti Arab, iaitu The Joint List dan Ra’am, mencipta rekod apabila memenangi 19 daripada 120 kerusi di Knesset susulan peningkatan ketara kadar keluar mengundi dalam kalangan pengundi Arab.

Pencapaian itu meletakkan kedua-dua parti berkenaan sebagai penentu kuasa politik, dengan blok Netanyahu memperoleh 53 kerusi manakala blok pimpinan Eisenkot meraih 48 kerusi.

Likud sebelum ini mendakwa terdapat pengundi yang “disogok” untuk mengundi parti-parti Arab selepas Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat (CEC) meminta Shin Bet menyiasat “syak wasangka serius” berhubung campur tangan asing.

Kedua-dua parti Arab menolak dakwaan itu, dengan gabungan The Joint List yang didominasi masyarakat Arab menyifatkannya tidak berasas.

Netanyahu dan parti Likud menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai “gempa politik” serta “serangan terhadap demokrasi” yang bertujuan menyingkirkan kerajaan berhaluan kanan pimpinannya.

Related posts

Leave a Comment