SINGAPURA – Keadaan jerebu di Singapura bertambah baik hari ini dengan bacaan pencemaran udara kekal pada paras baik hingga sederhana dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) bagi tempoh 24 jam berada antara 57 hingga 66.
Menurut Perkhidmatan Kaji Cuaca Singapura semalam, keadaan jerebu dijangka terus bertambah baik apabila negara memasuki tempoh antara monsun.
Sementara Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menyatakan hujan dijangka turun di Sumatra, Kalimantan, Singapura dan kawasan sekitarnya hari ini sekaligus dijangka membantu mengurangkan jerebu di rantau ini.
Menurut laporan kaji cuaca, dalam tempoh dua minggu pertama November, hujan petir sederhana hingga lebat dijangka melanda beberapa kawasan di Singapura pada waktu petang pada kebanyakan hari.
Hujan mungkin berlarutan hingga ke waktu malam pada beberapa hari manakala hujan bagi tempoh dua minggu akan datang diramalkan melebihi purata jangka panjang di kebanyakan kawasan Singapura.
Cuaca pula dijangka kekal panas dengan suhu maksimum harian antara 33 hingga 35 darjah Celsius pada kebanyakan hari.
