MANJUNG 10 Jan. – Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham memaafkan pihak yang terbabit membakar kereta dan rumahnya awal, pagi ini dan meminta pelaku bertaubat kerana melakukan tindakan yang membahayakan nyawa orang lain.
“Saya maafkan sesiapa sahaja yang membakar kereta dan rumah saya, bahkan cuba membahayakan nyawa keluarga jika individu terbabit berbuat demikian kerana diperdaya tuduhan palsu oleh orang lain sehingga sanggup melakukan jenayah ini.
“Mereka yang terpesong, bertaubatlah,” katanya sambil menasihatkan pelaku tidak diperdayakan mana-mana pihak sebaliknya hidup gembira tanpa melakukan perkara seperti itu sehingga terpaksa sembunyikan diri.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak itu berkata demikian pada sidang media di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Beruas, Ayer Tawar, di sini, susulan kediamannya di Lorong Semarak Jaya diserang dengan ‘molotov koktail’ awal pagi ini
Koo Ham tidak menolak perbuatan khianat itu berpunca daripada cadangannya supaya pakar bukan Islam turut dilantik dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.
Menurutnya, beliau percaya pelaku terbabit tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.
“Saya tak bersengketa dengan sesiapa. Saya percaya satu-satunya punca berlakunya tindakan yang disengajakan ini adalah susulan kenyataan media saya pada 28 Disember lalu.
“Saya syak itulah yang berlaku, kalau tidak kenapa orang nak bakar kereta dan rumah saya, hendak saya mati dalam rumah untuk bunuh saya,” katanya sambil mendakwa pemimpin pembangkang mengapi-apikan keadaan berikutan cadangannya itu supaya beliau dibenci.
Koo Ham juga memaklumkan pihaknya menyerahkan kepada polis untuk siasatan dan mencari pelaku. Satu laporan polis juga dibuat di Balai Ayer Tawar pagi ini.
Menceritakan detik cemas awal pagi ini, Koo Ham berkata, beliau dan isteri yang sedang tidur di tingkat atas kediaman mereka dikejutkan dengan bunyi loceng rumah yang dibunyikan berkali-kali oleh jiran sambil berteriak bahawa berlaku kebakaran.
Sebaik sahaja isterinya membuka pintu rumah, Koo Ham melihat kereta jenis Mercedes Benz miliknya sudah hangus dijilat api dan ternampak satu botol kaca yang pecah dengan api masih bernyala pada bahagian kelihatan seperti sumbu.
“Saya tidak pernah menerima sebarang ugutan sama ada dalam bentuk mesej atau panggilan telefon.
“Saya pun tak menyangka kejadian mengancam nyawa ini boleh berlaku selepas saya memohon maaf dan menarik semula cadangan itu pada 30 Disember lalu,” katanya.
Nnnn
