SEPANG 10 Jun – “Sedih di hati bukan kepalang apabila memikirkan kesan kepada rakyat,” kata Perdana Menteri kelapan Muhyiddin Yassin susulan keputusan kerajaan menaikkan harga diesel secara mendadak mulai hari ini.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, kenaikan sebanyak RM1.20 atau 56 peratus berbanding sebelumnya adalah amat tinggi dan tidak mengendahkan nasib rakyat yang cukup terbeban dengan inflasi dan kos sara hidup yang sudah tinggi.
“Peringatan saya di Parlimen supaya pelaksanaan penyasaran subsidi langsung tidak diendahkan. Sedih di hati bukan kepalang apabila memikirkan kesan kepada rakyat.
Kenaikan harga diesel secara mendadak ini akan mengakibatkan kejutan ekonomi yang akan merebak ke seluruh pelosok negara dan menyebabkan kesan gandaan (multiplier effect) kepada sektor ekonomi dan sosial yang lain.
Beban ini jika ditaksir mungkin kosnya kepada rakyat adalah jauh lebih besar daripada RM4 bilion yang dapat dijimatkan dari penyasaran subsidi ini. Apakah ini berbaloi?,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mendakwa langkah PH-BN ini sekadar bukti menunjukkan mereka tidak peka terhadap keluhan rakyat dan oleh kerana sistem ekonomi negara tidak efisien, gagal diurus dengan baik, maka rakyat akan menghadapi kesulitan hidup yang lebih teruk.
“Saya tidak yakin Sistem Kawalan Subsidi Diesel (SKDS) yang hanya terhad kepada jenis-jenis kenderaan komersil tertentu sahaja dapat mengatasi masalah kenaikan kos dalam rantaian bekalan.
Syarat-syarat yang dikenakan ke atas penerima bantuan subsisidi diesel menerusi skim Budi Madani juga ketat yang boleh menyebabkan sebahagian besar pengguna tidak layak mendapat bantuan.
Bagi yang layak menerima bantuan pula, katanya, jumlah RM200 sebulan diyakini tidak memadai untuk menampung kenaikan harga diesel yang terlalu tinggi dan akhirnya kenaikan kos dalam rantaian bekalan akan tetap berlaku.
“Penyasaran subsidi diesel tanpa langkah komprehensif untuk menampan kesan kenaikan kos sara hidup rakyat adalah satu keputusan buruk yang dibuat oleh kerajaan. Kesannya akan dirasai serta merta.
“Ini hanya permulaan. Saya ingin mengingatkan bahawa rakyat akan lebih terbeban apabila kerajaan menarik balik subsidi RON 95 tidak lama lagi,” katanya.
Semalam, kerajaan mengumumkan harga diesel di stesen minyak di Semenanjung Malaysia tidak lagi disubsidi bermula hari ini.
Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata harga diesel akan diapungkan dan mengikut harga pasaran – pada masa ini RM3.35 seliter. Sebelum pembatalan subsidi menyeluruh itu, harga diesel ialah RM2.15 seliter.
Harga diesel akan dikemas kini mengikut minggu, sama seperti petrol RON97.
Nnnn