Langkah Dubai terima 8 laporan polis

KUALA LUMPUR 9 Jan. – Polis Kontinjen Kuala Lumpur menerima lapan laporan daripada wakil parti politik, berhubung dakwaan gerakan ‘Langkah Dubai’ bagi menjatuhkan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim.

Ketua Polis Kuala Lumpur,  Allaudeen Abdul Majid, mengesahkan pihaknya menerima laporan berkenaan, antaranya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, Cheras dan Dang Wangi.

“Kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, untuk tindakan lanjut,” katanya seperti dilaporkan BH.

Sementara itu, Mahathir Mohd Yunus,  Pegawai Tugas-Tugas Khas Kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin, membuat laporan berhubung perkara itu di IPD Cheras, semalam.

Mahathir berkata gerakan berkenaan jelas bertujuan untuk mengganggu gugat sistem demokrasi berparlimen walaupun setelah adanya Akta Antilompat Parti.

Ketua Biro Guaman, Angkatan Muda Keadilan (AMK), Asheeq Ali Sethi Alivi yang membuat laporan di IPD Dang Wangi, menggesa polis membuat siasatan terhadap individu yang disyaki terbabit gerakan itu, termasuk penulis blog kontroversi, Raja Petra Kamarudin.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop, ketika dihubungi Bernama mengesahkan pihaknya turut menerima dua laporan polis berhubung dakwaan gerakan ‘Langkah Dubai’ dan siasatan sedang dijalankan.

Related posts

Leave a Comment