Kejayaan prinsip kedaulatan undang-undang

PUTRAJAYA 9 Jan. – Keputusan Mahkamah Jenayah Madrid yang mendapati penimbang tara Sepanyol, Dr Gonzalo Stampa, bersalah menghina mahkamah serta dihukum penjara enam bulan, merupakan kejayaan penting prinsip kedaulatan undang-undang negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, berkata Malaysia menyambut baik keputusan itu yang juga akan membantu memelihara kesucian prosiding timbang tara antarabangsa sebagai alternatif kepada penyelesaian pertikaian.

Katanya, Malaysia juga yakin keputusan bersejarah itu akan menjadi faktor pencegahan kepada tindakan tidak beretika kumpulan Sulu dan Malaysia akan terus memastikan kedaulatan, keselamatan dan kepentingan negara dilindungi setiap masa.

Azalina dalam satu kenyataan, malam tadi berkata, mahkamah jenayah itu dalam keputusannya mendapati Stampa telah secara sengaja bertindak dengan matlamat menghalang perintah pembatalan daripada berkuat kuasa, yang merupakan satu tindakan tidak wajar untuk dilakukan oleh seorang peguam.

Beliau berkata, mahkamah itu seterusnya mendapati Stampa mempunyai kewajipan untuk mematuhi perintah Mahkamah Tinggi Keadilan Madrid tanpa mengambil kira pandangan beliau mengenai kesahihan perintah itu.

Pada 8 Januari 2024, Malaysia melakar kejayaan bersejarah di Sepanyol selepas Mahkamah Jenayah Madrid memutuskan bahawa Stampa bersalah dalam prosiding menghina mahkamah yang dibawa oleh Pejabat Pendakwa Raya Sepanyol dan Malaysia.

“Mahkamah Jenayah Madrid telah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan ke atas Stampa, serta melarang beliau daripada menjalankan tugas sebagai penimbang tara selama setahun kerana secara sedar dan sengaja mengingkari perintah dan keputusan Mahkamah Tinggi Keadilan Madrid,” katanya.

Terdahulu, Azalina dalam hantaran di akaun X berkata, usaha Kerajaan Madani dalam menangani serta menghentikan penipuan kumpulan Sulu adalah tidak sia-sia, dan kerajaan nekad memperjuang kes itu demi menegakkan keadilan serta akan terus berusaha untuk membatalkan Award Akhir.

Azalina berkata, sebelum ini pada 29 Jun 2021, Mahkamah Tinggi Keadilan Madrid telah mengeluarkan perintah akhir yang membatalkan pelantikan Stampa dan semua tindakan beliau, kerana berpendapat Malaysia telah dipanggil secara tidak wajar dalam prosiding pelantikan penimbang tara itu.

Justeru Mahkamah Tinggi Keadilan Madrid telah memerintahkan supaya Malaysia dipanggil secara teratur dan prosiding itu dimulakan semula.

Percubaan kumpulan itu untuk merayu keputusan berkenaan gagal, sekali gus mengesahkan pembatalan pelantikan Stampa.

Walaupun terdapat perintah akhir dan mengikat yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Keadilan Madrid, Stampa mengingkarinya dan menukar lokasi timbang tara itu dari Madrid ke Paris untuk meneruskan prosiding yang penuh dengan penyalahgunaan proses dan mengeluarkan Award Akhir hampir AS$15 bilion terhadap Malaysia.

Related posts

Leave a Comment