Lebih baik MCA keluar BN – Teresa Kok

KUALA LUMPUR 9 Jan. –  Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok, mengesyorkan MCA meninggalkan Barisan Nasional (BN), serta memperbaharui hubungan dengan Bersatu dan Pas dalam Perikatan Nasional (PN).

Katanya, adalah lebih baik MCA berbuat sedemikian kerana beberapa tindakan MCA sebelum ini didakwa dilihat tidak berprinsip sehingga menimbulkan persepsi orang ramai bahawa ‘MCA agak sesat.’

“‘MCA agak sesat’ adalah persepsi orang ramai terhadap MCA. Ia juga merupakan realiti dan dilema yang dihadapi oleh MCA. Oleh itu, (Datuk Seri Dr) Wee Ka Siong (Presiden MCA) memang tidak perlu berdalih.

“MCA telah kalah teruk dalam empat pilihan raya umum (PRU) berturut-turut sejak 2008.

Ini menunjukkan parti itu telah kehilangan sokongan daripada masyarakat Cina, dan ia hanya bertahan dengan bergantung pada penyokong UMNO sahaja,” dakwanya dalam satu kenyataan.

Media sebelum ini melaporkan Ka Siong menyelar kenyataan Kok yang mendakwa MCA sebagai ‘sesat’ seperti dilaporkan melalui wawancara di Mingguan Malaysia.

“Saya rasa lucu untuk melihat Presiden MCA Wee Ka Siong menunjukkan reaksi yang kuat terhadap wawancara saya di Mingguan Malaysia semalam berkenaan “MCA Agak Sesat,” kata Kok.

Menurut Kok, selepas “Langkah Sheraton” pada 2020,  MCA membentuk kerajaan dengan Pas dan parti politik lain melalui pintu belakang.

MCA katanya, sebelum ini pernah kuat mengecam DAP kerana bekerjasama dengan Pas di bawah Pakatan Rakyat di peringkat negeri, tetapi pada 2020, MCA bertukar pendirian politik dan ‘menampar mulutnya sendiri’ dengan bekerjasama dengan Pas.

“Bukankah ini kehilangan arah dan  “sesat”?,” sambil menambah selepas PRU 2022 dan sebelum kerajaan dibentuk, Ka Siong dan Ahli Parlimen Tanjung Piai, Wee Jeck Seng senyap-senyap menandatangani akuan bersumpah (SD) untuk menyokong Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, sekaligus bekerjasama dengan Pas.

Beliau mendakwa motif Ka Siong dan Jeck Seng adalah semata-mata untuk menjadi menteri, sehingga sanggup tikam belakang BN, dan ini mencerminkan MCA memang telah hilang prinsip politik dan sesat dari segi hala tuju politik.

Di samping itu MCA tidak melemparkan kritikan terhadap Pas seperti sebelum ini apabila Pas berulang kali mengeluarkan kenyataan dan dasar yang melanggari hak asasi manusia dan kebebasan individu, seperti mengenakan denda terhadap orang yang berseluar pendek dan sebagainya.

“Bukankah, ini sekali lagi menunjukkan MCA tidak berprinsip dan sesat?,” kata Kok.

Nnn

Related posts

Leave a Comment