Israel tidak akan hentikan perang Gaza

PUTRAJAYA 8;Jan. – Dr Mahathir Mohamad mendakwa Amerika Syarikat (AS) bertanggungjawab ke atas kematian 200 rakyat Palestin kerana menolak cadangan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk menuntut gencatan senjata kemanusiaan segera di Gaza.

Bekas Perdana Menteri, itu berkata sekiranya AS bersetuju dengan gencatan senjata itu, 200 rakyat Palestin terbabit masih hidup.

Bagaimanapun kata Dr Mahathir, Israel tidak akan menghentikan perangnya terhadap Gaza sehingga objektif mereka untuk memusnahkan Hamas sepenuhnya dan tiada lagi pejuang Hamas.

“Disebabkan serangan bom dan roket tidak boleh mengenal pasti Hamas, semua rakyat Palestin perlu dibunuh kerana terdapat Hamas dalam kalangan mereka,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Dr Mahathir mendakwa, Israel dan sekutunya menyifatkan kematian kanak-kanak dan bayi Palestin sebagai kolateral kerana menganggap mereka akan menganggotai Hamas apabila sudah dewasa.

“Pembunuhan mereka menjadi sebahagian daripada perang demi keselamatan Israel. Jadi bila Israel akan menghentikan perangnya? Apabila Hamas sudah dihapuskan.

“Perkara ini hanya boleh berlaku apabila semua orang di Gaza terbunuh, pembunuhan beramai-ramai perlu dilakukan. Hanya selepas ketiadaan rakyat Palestin di dunia ini, Israel akan selamat,” sindirnya.

Katanya, disebabkan itu AS berterusan melindungi Israel untuk meneruskan peperangan dan membunuh semua rakyat Palestin.

AS sebelum ini menolak cadangan UNSC untuk menuntut gencatan senjata kemanusiaan segera antara Israel dan Palestin.

Cadangan draf resolusi ringkas dikemukakan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) disokong 13 ahli lain, hanya Britain berkecuali, dengan Washington diasingkan secara diplomatik kerana melindungi sekutunya.

AS dan Israel sebelum ini menentang gencatan senjata kerana mereka percaya ia hanya akan menguntungkan Hamas, sebaliknya menyokong gencatan senjata sementara dalam pertempuran untuk melindungi orang awam dan membenarkan pembebasan tebusan.

Related posts

Leave a Comment