SHAH ALAM 8 Jan. – Isu penangkapan tiga orang staf Harakah termasuk dua wartawan yang didakwa menceroboh kediaman Menteri Besar Selangor adalah tidak tepat serta tidak menggambarkan realiti sebenar yang berlaku.
Ketua Pegawai Operasi Harakah, Nadzir Helmi dalam kenyataan menjelaskan, kehadiran tiga stafnya di kediaman itu adalah atas jemputan penduduk Kampung Sungai Sireh berhubung mesyuarat berkait isu Taman Sungai Sireh, Klang.
“Mesyuarat tersebut atas jemputan penduduk Kg Sungai Sireh itu sendiri serta atas kapasiti Gerakan Pertubuhan Ummah (UMMAH) yang merupakan antara badan bukan kerajaan (NGO) paling tegas memperjuangkan hak penduduk Kg Sungai Sireh.
“Mereka sebenarnya tidak menceroboh tanpa izin, sebaliknya telah dibenarkan masuk ke kediaman rasmi MB,” katanya dalam kenyataan di HarakahDaily selepas membuat laporan polis berkaitan isu penangkapan itu.
Isu Taman Sungai Sireh di Klang adalah berkaitan dengan usaha pengambilan tanah oleh pihak kerajaan dalam pembangunan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Namun begitu, berlaku polemik dalam isu ini ekoran cara dan layanan kerajaan negeri terhadap penduduk Kg Sungai Sireh yang dilaporkan tidak adil terhadap kebajikan penduduk.
Menurut Nadzir, mesyuarat bagi membincangkan isu ini bersama rakyat telah dilakukan di kediaman rasmi MB Selangor pada 5 Januari 2024 setelah mendapat tekanan rakyat.
Beliau berkata, antara individu yang sejak awal menjadi suara rakyat adalah Suffi Kamari yang juga merupakan staf Harakah.
“Mereka sebenarnya tidak menceroboh tanpa izin, sebaliknya telah dibenarkan masuk ke kediaman rasmi MB. Bahkan, mereka sempat menghadiri mesyuarat tersebut bersama Menteri Besar.
Namun, isu hanya berlaku setelah pertemuan dengan MB Selangor selesai apabila mereka telah ditahan atas alasan menceroboh kediaman rasmi MB Selangor.
Lebih mengecewakan, wajah mereka telah diviralkan di platform media sosial secara tidak bertanggungjawab dengan cerita dan gambaran tidak tepat sekali sehingga telah menjatuhkan air muka dan maruah mereka.
Harakah sebagai syarikat akhbar sendiri telah cuba dipalitkan dengan kisah tidak tepat tersebut disyaki atas niat untuk merosakkan imej syarikat ini,” katanya.
Susulan itu, laporan balas telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam hari ini oleh tiga staf Harakah berkenaan sebagai tindakan undang-undang untuk mempertahankan kebenaran dan cerita sebenar.
“Kami menegaskan bahawa maruah dan kredibiliti mereka dan juga Harakah akan terus dipertahankan berdasarkan jalan undang-undang. Kami juga akan terus memberikan kerjasama kepada pihak mahkamah sepanjang proses ini berjalan,” katanya.
