Syarikat tipu umrah didakwa Selasa

TENOM 7 Jan. – Sebanyak 88 kertas siasatan dibuka bagi kes penipuan pakej umrah membabitkan 47 mangsa, Disember lalu, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata sebahagian siasatan sudah lengkap dan syarikat berpangkalan di Putrajaya itu akan didakwa pada 9 Januari ini mengikut Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999.

“Dalam isu penipuan umrah ini, bidang kuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terkait kepada aspek kepenggunaan.

Aspek pelesenan, elemen jenayah dan lain-lain adalah di bawah bidang kuasa kementerian serta agensi berbeza,” katanya selepas meninjau pelaksaan Program Pengedaran Barang Perlu, gas petroleum cecair LPG dan Community Drumming (PoS to PoS) membabitkan beberapa pusat penjualan di sini, hari ini.

Beliau berkata, selepas mengambil kira isu dan kes membabitkan penipuan umrah semakin banyak, Ketua setiausaha kementerian diarah mengadakan perbincangan segera melalui jawatankuasa bersama pihak berkaitan.

Ia membabitkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) berkaitan pelesenan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi unsur-unsur jenayah, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) serta Pejabat Peguam Negara.

Armizan berkata demikian sebagai mengulas kes penipuan pakej umrah membabitkan sekumpulan 47 mangsa pada Disember tahun lalu.

Sebelum ini, KPDN meminta semua mangsa kes penipuan pakej umrah terbabit membuat aduan rasmi kepada KPDN bagi memudahkan siasatan terperinci dilaksanakan.

Mangsa menggesa KPDN mengambil tindakan terhadap sebuah syarikat pelancongan selepas gagal membayar ganti rugi seperti diminta Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

Kumpulan yang dibawa Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO) itu juga mahu syarikat terbabit dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang kerana ramai yang menjadi mangsa sebelum ini.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment