Mahfuz, Hatta dilantik Naib Presiden Amanah

KUALA LUMPUR 7 Jan. –  Bekas Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar dikekalkan  sebagai Naib Presiden Amanah manakala seorang lagi yang dilantik memikul tangggungjawab itu adalah bekas Ahli Parlimen Lumut, Dr Hatta Ramli.

Pelantikan itu dibuat Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional (JKP) sesi 2023 – 2026 dalam mesyuarat pertamanya selepas pemilihan yang dipengerusikan oleh Presidennya,  Mohamad Sabu.

Pada pemilihan sempena Konvensyen Amanah Nasional 24 Disember lalu, Mahfuz mendapat 694 undi iaitu pada kedudukan kelima undian tertinggi manakala Mohd Hatta yang juga bekas Setiausaha Agung mendapat 549 undi, pada kedudukan 11.

Tiga Naib Presiden yang dipilih sebelum ini adalah Ahli Parlimen Kuala Selangor,  Dr Dzulkefly Ahmad; bekas Exco Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud serta Ahli Parlimen Alor Gajah, Adly Zahari.

Dalam satu kenyataan hari ini, mesyuarat juga bersetuju melantik bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil sebagai Setiausaha Agung parti.

Dalam pemilihan itu, Muhammad Faiz mendapat 527 undi, berada dalam kedudukan ke-12 manakala bekas Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad yang mendapat undian kedua tertinggi (899 undi) dikekalkan sebagai Pengarah Komunikasi.

Muhamad Faiz berkata, pelantikan itu menggabungkan gandingan pemimpin berpengalaman dan muda dalam kalangan 27 orang JKP yang di ambil atas kesedaran tuntutan politik yang semakin mencabar.

Mohamad sebelum ini kekal dipilih menerajui Amanah selepas dipilih sebagai Presiden manakala jawatan Timbalan Presiden parti itu disandang oleh Ahli Dewan Negara, Dr Mujahid Yusof.

Mujahid menggantikan Allahyarham Salahuddin Ayub yang meninggal dunia pada 23 Julai lalu.

Muhammad Faiz menjelaskan barisan kepemimpinan baharu itu mengukuhkan lagi kedudukan Amanah dan dalam masa yang sama memastikan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim kekal utuh dan stabil demi menjamin pembangunan negara yang mampan dan kehidupan rakyat yang sejahtera.

Beliau berkata, mesyuarat Amanah turut meluluskan kerangka pelan strategi parti melalui pemukiman parti semalam.

“Kerangka itu dibuat dengan objektif untuk menguatkan parti melalui agenda mengukuhkan organisasi, membina kemantapan ahli melalui nilai yang dikongsi bersama dan mengasaskan identiti perjuangan dan pendekatan politik yang disegani rakyat Malaysia berteraskan prinsip amanah, adil dan rahmat untuk semua.

“Bagi mengangkat suara akar umbi, pelantikan Pengerusi Amanah negeri akan dibuat dalam mesyuarat Amanah Nasional yang akan datang selepas notis bertulis yang cukup diberikan kepada setiap kawasan parti di seluruh negara bagi menamakan calon yang sesuai dan layak untuk dipertimbangkan dan diputuskan oleh Presiden dan JKP,” katanya.

Senarai barisan kepimpinan Amanah 2023 hingga 2026:

Presiden: Datuk Seri Mohamad Sabu

Timbalan Presiden: Datuk Seri Mujahid Yusof

Naib Presiden: Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Dr Siti Mariah Mahmud, Adly Zahari, Datuk Mahfuz Omar dan Dr Mohd Hatta Ramli.

Setiausaha Agung: Muhammad Faiz Fadzil

Timbalan Setiausaha Agung: Norhayati Bidin

Penolong Setiausaha: Mohd Faizul Salleh

Penolong Setiausaha: Ridzwan Abu Bakar

Setiausaha Organisasi: Abang Mohd Kerdee Abang Masagus

Bendahari Agung: Izham Hashim

Pengarah Komunikasi: Khalid Abd Samad

Pengarah Strategi: Ahmad Sabki Yusof

Pengarah Pembangunan Sumber Manusia: Suhaizan Kaiat

Pengarah Syariah: Datuk Dr Hasan Bahrom

Pengarah Pilihan raya: Mohd Sany Hamzan.

 

foto : Atas dari kiri Mahfuz, Dr Hatta dan Faiz manakala  bawah dari kiri Khalid, Sany dan Dr Hasan

Related posts

Leave a Comment