Sabah catat kematian tertinggi

KOTA KINABALU 5 Sept. – Sabah merekodkan 55 kes kematian baharu akibat jangkitan Covid-19 semalam, menjadikannya antara kes kematian harian yang tertinggi pernah direkodkan sejak pandemik merebak ke negeri ini lebih setahun lalu.

Jurucakap rasmi Covid-19 Sabah, Masidi Manjun, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 12 kematian di daerah Tuaran, 10 di Kota Kinabalu, tujuh di daerah Tawau, enam di daerah Sandakan, empat di Lahad Datu dan tiga di daerah Penampang.

Masing-masing dua kes kematian di daerah Putatan, Keningau, Beluran dan Papar, masing-masing satu kes kematian di Kuala Penyu, Kalabakan, Tenom, Kudat dan Kinabatangan.

Dalam kenyataan media, malam tadi, beliau berkata jumlah kematian yang direkodkan itu turut menunjukkan peningkatan 20 kes berbanding 35 kes kematian yang dilaporkan kelmarin.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, satu kluster baharu turut dilaporkan di Sandakan semalam yang membabitkan jangkitan tempat kerja di sebuah kilang papan.

Kluster Semawang itu dikesan selepas seorang pekerja lelaki bukan warga negara berumur 40 tahun dikesan positif Covid-19 pada 19 Ogos lalu melalui saringan pekerjaan di sebuah klinik swasta.

Tiga lagi kes dikesan pada 27 Ogos lalu di lokaliti yang sama. Berikutan itu, pengurus kilang mengambil inisiatif melaksanakan saringan terhadap 376 pekerja mulai 30 Ogos lalu dan didapati seramai 103 orang pekerjanya positif Covid-19.

Related posts

Leave a Comment