TEL AVIV: Perang Gaza menuntut kesan yang dahsyat apabila tentera yang terbunuh dalam pertempuran dengan Hamas dilaporkan meningkat, kata Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Netanyahu berkata, pertempuran kali ini adalah peperangan yang panjang dan hanya akan tamat selepas Hamas dihapuskan sama sekali.
“Ini adalah pagi yang sukar, selepas hari yang sangat sukar dalam pertempuran di Gaza. Perang ini memberi kesan yang tinggi tetapi kami tidak mempunyai pilihan selain terus berjuang.
Kami meneruskan dengan kekuatan sepenuhnya sehingga menang dan mencapai semua matlamat kami, memusnahkan Hamas, membebaskan tebusan dan memastikan Gaza tidak lagi menjadi ancaman kepada Israel,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, selepas Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mengumumkan 14 tenteranya terbunuh di wilayah Palestin sejak Jumaat lalu.
Sebelum ini, IDF mengumumkan, jumlah tentera yang terkorban adalah seramai 15 orang sejak Jumaat dan 154 orang sejak serangan darat Israel bermula pada 27 Oktober lalu.
Pada masa sama, melalui kenyataan semalam, Netanyahu turut berikrar untuk melindungi nyawa askar.
“Kami sedang memperhebatkan perang di Semenanjung Gaza dan akan melakukan segala-galanya untuk melindungi nyawa tentera kami. Kami tidak akan berhenti sehingga mencapai kemenangan,” katanya.
