Pakai pelitup muka jika bergejala

KUALA LUMPUR 13 Dis. – Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan peningkatan kes jangkitan Covid-19 selepas sambutan Hari Krismas dan Tahun Baharu serta cuti sekolah mulai Sabtu ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Radzi Abu Hassan.

Justeru KKM menggalakkan orang ramai memakai pelitup muka ketika kunjung mengunjung jika mereka menunjukkan gejala Covid-19 bagi melindungi keluarga, jiran dan rakan mereka daripada dijangkiti.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, jumlah kes Covid-19 yang dilaporkan meningkat daripada 6,796 kepada 12,757 pada Minggu Epidemiologi ke-49 (ME 49/2023) adalah seiring trend global pada setiap hujung tahun.

Katanya, majoriti kes mengalami gejala ringan serta tidak memerlukan rawatan hospital.

Beliau berkata walaupun terdapat peningkatan mendadak jumlah kes Covid-19 yang dilaporkan, keadaan di Malaysia masih terkawal dan kemudahan penjagaan kesihatan beroperasi dalam kapasitinya.

Menurut beliau, kemasukan pesakit ke hospital dan penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) masing-masing meningkat 1.4 peratus bagi setiap 100,000 penduduk berbanding minggu sebelumnya (26 November 2023 hingga 2 Disember 2023).

Secara keseluruhan, peratus kes kematian Covid-19 dari 25 Januari 2020 hingga 9 Disember 2023 adalah 0.72 peratus.

Radzi juga menasihati warga emas serta mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah dan mereka yang mempunyai komorbiditi untuk menggunakan Paxlovid jika mereka menunjukkan gejala Covid-19.

Paxlovid berkesan apabila diambil dalam tempoh masa lima hari daripada hari gejala bermula.

Oleh itu, pesakit yang berisiko tinggi disarankan untuk menjalani ujian sebaik sahaja mereka mempunyai gejala.

Jika ujian Covid-19 didapati positif, pesakit dinasihatkan mendapatkan penilaian perubatan awal di fasiliti kesihatan yang berhampiran untuk menentukan kelayakan mengambil Paxlovid.

Beliau berkata, walaupun terdapat kemunculan berterusan varian Covid-19 baharu, ubat antivirus oral itu kekal berkesan dalam mengurangkan gejala dan mencegah kesan yang lebih buruk.

Related posts

Leave a Comment