Ibu kongsi kenangan terakhir bersama Zayn Rayyan

PETALING JAYA 13 Dis. – Ismanira Abdul Manaf, ibu kanak-kanak autisme yang menjadi mangsa bunuh, Zayn Rayyan Abdul Matiin, hari ini berkongsi kenangan terakhir bersama anak sulungnya pada 4 Disember lalu, sehari sebelum anaknya dilaporkan hilang.

Melalui hantaran di Instagram dan Facebook, Ismanira, 28, memuat naik tujuh potret mereka sekeluarga termasuk suami, Zaim Ikhwan Zahari, 28, serta Zayn Rayyan dan adiknya ketika berkunjung ke sebuah pusat beli belah di sini.

Menerusi hantaran itu, Ismanira mengimbas kenangan di saat mereka sekeluarga gembira menghabiskan masa bersama.

“Waktu ni Isnin minggu lepas, 4 Disember, ni last (kali terakhir) mommy dan daddy dapat bawak abang jalan-jalan. Abang dengan adik suka sangat jalan-jalan.

Dapat pusing-pusing mall (pusat beli belah), makan-makan tu memang happy (gembira) sangat sangatlah dua beradik ni.

“Penat ke sibuk macam mana pun mommy daddy akan cuba jugak bawak abang dengan adik jalan-jalan

Happy (gembira) sangat abang waktu ni, mommy daddy dan adik pun happy waktu ni.. tak sangka ini moment (saat) happy terakhir kita, mommy abadikan kat sini ya,” tulisnya pada kapsyen pada hantaran berkenaan.

Zayn Rayyan, 6, disedari hilang sejak pukul 12.30 tengah hari 5 Disember lalu, di blok kediaman mereka di Apartmen Idaman, Damansara Damai di sini sebelum ibunya membuat hebahan di media sosial dan laporan polis.

Usaha pencarian dijalankan polis dengan dibantu anggota bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan anjing pengesan Polis Diraja Malaysia membabitkan kawasan belukar dan longkang berhampiran dalam radius kira-kira 300 meter.

Dia kemudian ditemukan tidak bernyawa sehari kemudian di kawasan anak sungai, kira-kira 200 meter dari kediamannya sekitar pukul 10 malam.

Menerusi Facebook, Ismanira turut berkongsi semula hantaran ‘surat cinta dari ibu’ yang dimuat naik pada 10 Mei 2022 bersama sekeping gambar Zayn Rayyan.

Menerusi hantaran itu, Ismanira menggambarkan kehadiran Zayn Rayyan sebagai anak sulung banyak mengubah hidupnya.

“Anda hanya boleh mempunyai seorang anak sulung. Anda mungkin menyayangi semua anak anda dengan sepenuh hati. Tetapi ada sesuatu yang unik tentang anak sulung.

“Saat yang mengubah saya selama-lamanya ialah saat anak sulung saya dilahirkan. Saya gembira, dipenuhi dengan harapan dan ingatan. Sekarang saya memahami maksud kerja, kehidupan, cinta.

“Sayang untuk selamanya anak sulungku, Zayn Rayyan,” katanya.
Nnnn

Related posts

Leave a Comment