KUALA LUMPUR 11 Dis. – Tohmahan bahawa Kerajaan menggunakan pelbagai Kongres Ekonomi sebelum ini untuk mewajarkan perampasan kekayaan negara bagi kepentingan kelompok elit Melayu adalah keterlaluan.
Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan sebaliknya berkata, semangat dan aspirasi pelbagai siri Kongres sebelum ini ialah untuk mengupayakan penglibatan Melayu dalam pelbagai sektor ekonomi dan perindustrian.
“Sama sekali bukan untuk mengagihkan kekayaan negara kepada kaum pemodal tertentu dari kalangan bangsa Melayu,” kata Menteri Pertahanan itu dalam satu kenyataan media melalui Facebooknya.
Menurut Mohamad, semangat dan aspirasi pelbagai siri kongres sebelum ini sebenarnya untuk mengupayakan pembabitan Melayu dalam pelbagai sektor ekonomi dan perindustrian.
Susulan itu, Mohamad, berkata cadangan penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 adalah selari dengan hasrat kerajaan iaitu pemerkasaan agenda ekonomi Bumiputera yang memerlukan kecerdasan dan paradigma baharu.
Bekas Naib Presiden MCA, Ti Lian Ker dalam kenyataan sebelum ini, menafikan beliau mempertikai penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputra ketika perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di Dewan Negara baru-baru ini dan mendakwa kenyataannya diputar belit.
Mohamad berkata, kongres itu dianjurkan untuk membincangkan idea kontemporari dan agenda kalis masa bagi memastikan pembabitan Bumiputera dalam pelbagai sektor ekonomi serta perindustrian terus disokong dan diupayakan.
“Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 belum lagi berlangsung, tetapi telah mula di kritik dengan nada yang sarat dengan prejudis terhadap Kerajaan dan juga orang Melayu,” katanya.
Menurut Mohamad, bangsa Melayu sangat terkesan dengan perubahan pantas landskap ekonomi global yang dipacu ledakan teknologi maklumat, sains dan kejuruteraan.
Pelbagai kesan globalisasi dan konflik antarabangsa yang mutakhir juga sangat menggugat kebolehsaingan kaum Bumiputera.
Isu-isu besar seperti impak perubahan cuaca, krisis makanan, pandemic, kemunculan kecerdikan buatan (AI), kemajuan fintech serta tren kontemporari pematuhan kerangka ESG (Environment, Social and Govenance) semuanya sangat penting di bahas dan di fikirkan dalam konteks kemajuan bangsa Melayu dan kaum Bumiputera.
“Justeru, janganlah terlalu bersangka buruk setiap kali cerdik pandai Melayu berhimpun dan bermuhasabah demi bangsanya. Ia sama seperti kami tidak pernah bersangka buruk dan prejudis pada perhimpunan bangsa lain, untuk membicarakan jalan ke hadapan bangsa mereka,” katanya
Mohamad berkata, kerajaan berperanan untuk memastikan potensi setiap bangsa di negara ini dibongkar dan dimajukan secara bertanggungjawab, terutama golongan yang terkebelakang dalam pelbagai sektor ekonomi serta perdagangan.
Beliau berkata, semangat itu bakal diterjemah dalam Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 akan datang dan tiada siapa akan tertinggal dalam kepesatan serta pemodenan ekonomi Malaysia.
Nnn
