Hilman kekal ADUN Gombak Setia, sedia ambil tindakan

KUALA LUMPUR  11 Dis. –   Selepas Mahkamah Tinggi mengekalkan kemenangannya di Dewan Undangan Negeri Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham bersedia mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang dikenal pasti mencemar nama baik dan reputasinya berhubung petisyen pilihan raya.

Katanya, langkah itu dibuat susulan Mahkamah Tinggi Ipoh yang menolak petisyen membatalkan kemenangan wakil Perikatan Nasional (PN) itu hari ini.

“Saya sudah berbincang dengan pasukan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang susulan terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab mencemar nama baik dan reputasi saya serta cuba meremehkan demokrasi.

“Individu-individu ini telah dikenalpasti untuk tindakan lanjut dalam masa yang terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini selepas Mahkamah Tinggi Ipoh menolak petisyen membatalkan kemenangannya di Gombak Setia.

Hakim Pilihan Raya Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Abdul Wahab Mohamed menolak petisyen pilihan raya DUN Gombak Setia dengan kos yang dibuat pengundi, Shaffie Omar.

Dalam petisyen itu, Shaffie mendakwa menerima RM150 sebagai dorongan kepada pengundi pada PRN Selangor, antara 4 dan 5 Ogos lalu.

Pada PRN Selangor, Hilman menang kerusi Gombak Setia dengan majoriti tipis selepas meraih 30,299 undi, mengatasi calon Barisan Nasional (BN) Megat Zulkarnain Omardin (30,241 undi), dan calon bebas, Salim Ali (1,076 undi).

Mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh itu, Hilman berkata, beliau bersyukur di atas keputusan bersejarah itu.

Katanya, keputusan mahkamah itu memberikan makna dan pengertian yang besar kepadanya dan seluruh pengundi DUN Gombak Setia.

“Sejak awal lagi saya menegaskan bahawa petisyen yang dikemukakan ini, khususnya mengenai isu politik wang dan rasuah politik adalah fitnah dan tohmahan dengan niat jahat bertujuan untuk menjatuhkan kredibiliti dan mencemar reputasi saya sebagai seorang Ahli Dewan Negeri.

“Usaha petisyen ini juga adalah satu cubaan untuk mengkhianati dan memperkotak-katikkan mandat yang telah diberikan oleh pengundi DUN Gombak Setia.
“Justeru, keputusan hari ini telah memberi keabsahan kepada mandat pengundi DUN Gombak Setia yang memilih PN,” katanya.

 

Related posts

Leave a Comment