TH tegas pastikan PJH penuhi piawaian

KUALA LUMPUR 11 Dis. – Lembaga Tabung Haji (TH) sentiasa tegas dalam memastikan semua Pengelola Jemaah Haji (PJH) memenuhi piawaian dan kriteria yang ditetapkan ketika mengendalikan jemaah haji.

Menurut Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra), sebagai bukti, satu daripada PJH yang diberi lesen pada musim lalu, ditarik balik kebenaran kerana melanggar terma dan syarat Lesen PJH 1444 Hijrah.

Presiden Bumitra, Harun AC Ahmmu, dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menyokong usaha TH dalam mengutamakan kualiti perkhidmatan haji tanpa membatasi jumlah syarikat yang layak di lantik sebagai PJH.

“Ini bermakna, mana-mana agensi pelancongan yang berjaya memenuhi semua kriteria yang ditetapkan oleh TH adalah layak menjadi PJH.

Ia bertujuan untuk memastikan perkhidmatan terbaik dapat diberikan kepada semua jemaah sewaktu di Malaysia dan Tanah Suci apatah lagi prestasi cemerlang TH sebagai ‘Pengendali Haji Terbaik Dunia’ dapat dikekalkan,” katanya

Justeru, Bumitra menasihatkan semua agensi pelancongan di bawah naungan persatuan itu khususnya pemegang lesen PJH supaya sentiasa beretika dan menjaga nama baik persatuan dan TH dalam memberikan perkhidmatan dan melakukan aktiviti pemasaran mereka.

Bumitra katanya tidak teragak-agak mengambil tindakan kepada mana-mana ahli persatuan yang melanggar etika profesionalisme dalam keghairahan mereka memasarkan perkhidmatan haji, umrah dan pelancongan buat masyarakat.

TH sebelum ini menyerahkan Lesen PJH kepada 25 syarikat pelancongan tempatan termasuk anak syarikatnya, Tabung Haji Travel & Services Sdn Bhd (THTS) bagi musim haji 1445H/2024.

Dalam pada itu, Harun berkata, Bumitra yakin dan percaya TH mempunyai mekanisme dan kriteria yang tersendiri dalam membuat penilaian dan pelantikan sebagai PJH.

“Kesemua agensi pelancongan yang terpilih adalah syarikat yang berkredibiliti, berwibawa dan mempunyai rekod yang cemerlang dalam menyediakan perkhidmatan umrah dan haji.

“Syarikat-syarikat ini juga adalah pemegang lesen sah dari Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC),” katanya yang turut menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada TH di atas pelantikan 25 ahlinya sebagai PJH.

“Pelantikan ini menunjukkan peningkatan jumlah agensi pelancongan yang terbabit berbanding dengan musim haji sebelumnya, di mana hanya 22 syarikat yang terpilih sebagai PJH,” katanya.

Semalam Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (PAPUH) mengingatkan TH supaya memberikan peluang kepada syarikat serta agensi pelancongan baharu sebagai PJH.

Setiausaha Agungnya, Faridah Hamid berkata ini kerana ada dalam kalangan syarikat yang disenarai sebagai PJH sudah lebih 10 tahun diberikan tanggungjawab itu oleh pihak TH.

“Tidak dinafikan syarikat-syarikat itu telah memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada para jemaah haji sebelum ini, tetapi kami percaya banyak lagi syarikat dan agensi pelancongan lain yang turut mampu memberikan perkhidmatan setanding jika diberikan peluang.” katanya melalui kenyataan.

PAPUH turut mengucapkan tahniah kepada 18 ahlinya yang dilantik sebagai PJH dan berharap ia akan memberikan semangat kepada lebih banyak syarikat agensi pelancongan untuk menceburi bidang pengurusan haji pada masa akan datang.

Related posts

Leave a Comment