Kes penderaan seksual kanak-kanak tertinggi

KUALA LUMPUR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengendalikan 1,603 kes, penderaan seksual terhadap kanak-kanak setakat Ogos lalu, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Nancy Shukri.

Katanya, penderaan seksual adalah tertinggi diikuti kes pengabaian terhadap kanak-kanak dengan 1,530 kes, 156 kes dibuang ibu bapa atau tiada ibu bapa, 73 kes melibatkan penderaan emosi, dan 614 kes lagi akibat faktor lain-lain.

“Kanak kanak yang diselamatkan ini ada yang masih ditempatkan di bawah institusi JKM, ada yang bersama ibu bapa angkat, atau Orang Yang Layak Dan Sesuai (OYLS), dan kembali ke pangkuan keluarga asas setelah dinilai keluarga itu tidak lagi mendatangkan risiko memudaratkan kepada kanak kanak tersebut,” katanya lagi.

Nancy menjawab soalan tambahan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) mengenai statistik kanak-kanak didera yang memerlukan perlindungan.

Menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN – Langkawi), Nancy berkata, garis panduan penempatan kanak-kanak dengan OYLS meliputi prosedur operasi standard (SOP) selepas mereka bersama dengan keluarga tersebut.

Selepas penempatan bersama OYLS, pelindung atau individu yang dilantik mahkamah bagi kanak kanak, sama ada ahli pasukan atau individu yang difikir sesuai, akan menjalankan seliaan ke atas kanak kanak dan OYLS setiap tiga bulan mengikut tempoh perintah mahkamah.

Katanya , pelindung akan membuat janji temu dengan OYLS bersama pelindung JKM, hadir ke pejabat JKM atau buat lawatan ke rumah.

“Perbincangan bersama kanak kanak atau OYLS dibuat dua kaedah – berasingan atau bersama, menilai keperluan kanak kanak, serta strategi dan perancangan bagi memenuhi peranan keluarga.

“Pelindung juga boleh melawat sekolah atau tempat kerja, dan adakan perbincangan dengan guru atau majikan mengenai isu serta penyelesaian dan menilai kemajuan kanak kanak tersebut,” katanya lagi.

Related posts

Leave a Comment