Akta jamin kebajikan pesara, bekas pegawai polis

KUALA LUMPUR 29 Nov. –  Satu Rang Undang-undang Pesara dan Bekas Pegawai Polis dijangka dibentangkan pada tahun hadapan bagi menjadikan pengurusan persatuan lebih teratur, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Shamsul Anuar Nasarah.

Katanya , RUU tersebut juga bertujuan untuk memastikan kebajikan pesara dan bekas pegawai polis lebih terjamin pada masa hadapan dengan penyaluran peruntukan Kerajaan kepada persatuan, dapat diselaraskan dan berkesan.

“Ia juga bagi memastikan pesara polis mendapat manfaat, dan kita harap rancangan ini boleh dilaksanakan dengan sempurna, sebagaimana dibuat ATM ditadbir Jabatan Veteran Tentera Malaysia.

“Sebagai makluman, RUU ini masih di peringkat penelitian Pegawai Undang Undang KDN, dan kita jangka pada suku tahun hadapan kita akan adakan libat urus dan dibawa ke Jemaah Menteri, dan kita cadang ia dapat dibentangkan pada tahun depan,” katanya lagi.

Beliau menjawab soalan tambahan Shamsulkahar Mohd Deli (BN – Jempol) yang ingin perancangan Kerajaan untuk mewujudkan akta berkaitan bagi menjaga kebajikan pesara dan bekas pegawai polis.

Terdahulu, Zahari Kechik (PN – Jeli) ingin mengetahui langkah-langkah proaktif yang dilakukan untuk menjamin kebajikan pesara polis seluruh negara sebagai menghargai jasa dan sumbangan mereka kepada negara.

Menurut Shamsul Anuar, bantuan Kerajaan kepada pesara polis, bekas polis, dan waris, meliputi beberapa bahagian termasuk – khairat kematian, pergerakan, perubatan, pendidikan, dan bencana alam.

“Semasa pembentangan Bajet 2024, Perdana Menteri (merangkap Menteri Kewangan) telah mengumumkan Bayaran Insentif RM1,000 dipanjangkan kepada semua pesara Kerajaan termasuk veteran berpencen serta veteran tidak berpencen.

“Bayaran ini akan dibuat secara sekali gus pada akhir Februari 2024,” katanya.

Tahun ini, Bantuan Khas Kewangan Tahun 2023 yang diterima oleh pesara kerajaan termasuk pesara polis yang menerima pencen dan tidak berpencen sebanyak RM350 pada 17 Januari 2023, dan Bantuan Khas Penghargaan Pesara Kerajaan sebanyak RM200 yang diterima pada 10 Ogos 2023.

Related posts

Leave a Comment