Muhyiddin gagal dapat pasport secara kekal

KUALA LUMPUR 29 Nov. – Muhyiddin Yassin hari ini gagal mendapatkan pasport antarabangsanya secara kekal selepas mahkamah mendapati bekas Perdana Menteri itu masih berdepan tiga tuduhan pengubahan wang haram.

Hakim Azura Alwi membuat keputusan menolak permohonan itu selepas mendapati adalah pramatang pada peringkat ini untuk membenarkan permohonan Muhyiddin mengubah syarat jaminan bon dan melepaskan pasport tanpa syarat.

Azura berkata, ia adalah kerana Muhyiddin masih berdepan tiga tuduhan tiga tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM200 juta berkaitan projek Jana Wibawa.

Bagaimanapun Presiden Bersatu itu masih boleh memohon untuk mendapatkan pasportnya secara sementara dan ia tidak memprejudiskannya.

Selepas mendengar hujahan lisan dan meneliti afidavit serta hujahan bertulis, mahkamah berpuas hati bahawa permohonan untuk mengubah syarat jaminan dan melepaskan pasport tanpa syarat adalah dengan ini ditolak.

Terdahulu, pada 17 November lalu, Timbalan Pendakwa Raya, Lim Wai Keong menegaskan,  Muhyiddin tidak wajar dibenarkan mendapatkan kembali pasportnya secara kekal kerana masih berdepan tiga tuduhan pengubahan wang haram dan berisiko melarikan diri.

Wai Keong, berkata pendakwaan percaya tiga tuduhan itu boleh berdiri dengan sendiri walaupun empat tuduhan predikat iaitu bagi kesalahan salah guna kedudukan sudah dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 Ogos lalu.

Beliau yang menjawab afidavit Ahli Parlimen Pagoh itu bagi mendapatkan pasportnya kembali secara kekal, berkata justeru adalah tidak wajar bagi Muhyiddin menyatakan tuduhan pengubahan wang haram yang dikenakan terhadapnya itu adalah tidak berasas.

Katanya, tiga tuduhan terbabit mewajarkan syarat jaminan bon yang diberikan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 10 Mac lalu dikekalkan bagi memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah, di mana syarat jaminan dipersetujui Muhyiddin sendiri ketika permohonan jaminan bon sebelum ini.

“Saya percaya bahawa keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan pertuduhan predikat masih di peringkat rayuan di Mahkamah Rayuan dan tarikh pendengaran ditetapkan pada 28 dan 29 Februari tahun depan.

“Kenyataan pemohon bahawa tuduhan pengubahan wang haram adalah tidak berasas kerana tuduhan predikat sudah dibatalkan, …saya menegaskan kenyataan itu adalah tidak bertanggungjawab dan pramatang.

Ia adalah kerana tuduhan pengubahan wang haram belum dibicarakan dan permohonan untuk mengetepikan tuduhan juga belum didengar. Kenyataan ini seolah melangkaui kuasa mahkamah dan mencabar kuasa Pendakwa Raya seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment