Pembangkang sah tidak hadir, menteri pula ‘ponteng’?

KUALA LUMPUR 20 Nov. –  Seorang ahli Parlimen pembangkang, Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mempersoalkan ketidakhadiran hampir semua menteri pada sesi pagi Dewan Rakyat hari ini.

Ketika bangkit mencelah ucapan Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PN-Bukit Gantang) ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 bagi Kementerian Kesihatan, beliau bertanya sama ada ketidakhadiran menteri boleh dianggap ‘ponteng’ sebagaimana dilabelkan terhadap ahli Parlimen pembangkang yang gagal hadir pagi tadi.

“Kalau dikatakan ponteng, bolehkah kita katakan semua menteri kecuali Menteri Kesihatan (Dr Zaliha Mustafa) ini ponteng? Tanya sedikit Bukit Gantang,” soalnya sambil disambut sorakan dalam kalangan wakil rakyat pembangkang.

Syed Abu Hussin secara berseloroh menjawab, kemungkinan ketidakhadiran menteri, disebabkan kekangan kerja.

“Menteri mungkin sibuk untuk agih peruntukan,” katanya.

Terdahulu, beliau turut menyangkal dakwaan ahli Parlimen kerajaan yang mendakwa barisan pembangkang ‘ponteng’, sebaliknya menjelaskan, hampir kesemua mereka memberikan sokongan kepada Himpunan Selamatkan Syariah yang diadakan di pekarangan Istana Kehakiman, Putrajaya, hari ini.

Terdahulu Dewan Rakyat sedikit kecoh susulan ketidakhadiran hampir semua ahli Parlimen pembangkang ketika sesi soal jawab lisan pagi ini.

Isu itu dibangkitkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul, ketika sesi pertanyaan untuk soalan kelima dikemukakan Ramanan Ramakrishnan (PH-Sungai Buloh).

Johari kemudian membuka peluang untuk soalan tambahan berikutan soalan dikemukakan ahli Parlimen pembangkang tidak akan dijawab pada sesi itu susulan kegagalan mereka hadir.

“Sebelum menteri jawab, oleh kerana kita dapati ramai ahli Parlimen tidak hadir, saya akan buka peluang kepada setiap soalan yang dijawab ini, untuk tiga soalan tambahan,” katanya.

Kemudian, Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) pula bangkit menyelar sikap pembangkang kerana gagal hadir pada sesi itu.

“Bukan ramai tidak hadir Speaker, seorang pembangkang pun tidak ada hari ini. Inilah ‘peel’ (perangai) pembangkang,” katanya disambut sorakan dari blok kerajaan.

Related posts

Leave a Comment