Tambah pegawai awasi 141 pintu masuk negara

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang meneliti keperluan bagi menambah perjawatan yang sesuai di sempadan negara dengan pelaksanaan agensi tunggal sempadan negara (SBA) bagi mengawal selia 141 pintu masuk negara yang dijangka dimulakan tahun depan.

Timbalan Menteri, Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata perbincangan sedang diadakan dengan beberapa pihak pemegang taruh termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam.

Katanya, penambahan itu juga mengambil kira pembukaan operasi ibu negara baharu Indonesia di Kalimantan, iaitu Nusantara.

“KDN sedar bilangan pegawai perlu ditingkatkan dengan perkembangan itu dan Jabatan Imigresen menjalankan kajian keperluan pegawai supaya ia mencukupi bagi menjaga pintu masuk negara sesuai dengan keperluan semasa di masa depan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Roy Angau anak Gingkoi (GPS-Lubok Antu) mengenai perancangan kementerian bagi menambah jumlah pegawai imigresen dan polis bagi meningkatkan tahap keselamatan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Lubok Antu yang menjadi antara pintu masuk sempadan Malaysia-Indonesia.

Shamsul Anuar berkata, pergerakan keluar masuk pelawat melalui pintu sempadan Kompleks ICQS Lubok Antu dicatatkan 5,500 sebulan dan jumlahnya dijangka bertambah apabila Nusantara mula beroperasi.

Katanya, sejak 1 Januari hingga 15 November lalu, sebanyak 62,159 orang dicatatkan keluar masuk melalui pintu sempadan itu.

Terdahulu, menjawab soalan asal Roy Angau, beliau memberitahu Imigresen memperuntukkan sejumlah RM54.6 juta untuk perolehan perkhidmatan sewaan CCTV bagi tempoh tiga tahun di 83 Pintu Masuk Antarabangsa (PMA.)

Roy Angau bertanyakan mengenai perancangan kementerian untuk menambah baik bangunan Kompleks ICQS Lubok Antu yang tidak mempunyai Kamera Litar Tertutup (CCTV) dan akses internet.

Menurut , Shamsul Anuar langkah itu selaras dengan komitmen kementerian yang sentiasa meneliti dan melaksanakan kerja-kerja pengubahsuaian serta penambahbaikan secara berperingkat di kesemua PMA.

“Pemasangan CCTV itu membabitkan perolehan bagi pakej Semenanjung Malaysia sebanyak RM36.3 juta serta pakej Sabah dan Sarawak yang turut meliputi ICQS Lubok Antu sebanyak RM18.3 juta yang bermula pada bulan lalu.

“Pemasangan CCTV adalah penting dan kritikal untuk pemantauan keselamatan bagi semua ICQS selaras dengan status kompleks ICQS sebagai kawasan larangan seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959,” katanya.

Shamsul Anuar menjelaskan pemasangan CCTV itu akan dapat meningkatkan tahap kawalan keselamatan daripada mana-mana pencerobohan yang tidak diingini di samping mengawasi keselamatan pengembara yang menggunakan pintu masuk negara.

Selain itu, katanya CCTV juga akan membantu memberikan perkhidmatan yang cekap di ICQS Lubok Antu termasuklah di kawasan-kawasan terlindung (blind spot).

Related posts

Leave a Comment