Tangguh keputusan cabar enakmen syariah

PUTRAJAYA 20 Nov. –  Mahkamah Persekutuan menangguhkan kepada tarikh yang akan ditetapkan kemudian, untuk memutuskan petisyen oleh seorang peguam dan anaknya yang mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Petisyen yang difailkan Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Nas­tasha Tengku Abdul Rahman terhadap Kerajaan Negeri Kelantan, adalah bagi mengisytiharkan 18 peruntukan kesalahan dalam enakmen itu, terbatal dan tidak sah.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Tuan Maimun Tuan Mat, berkata mahkamah akan menetapkan keputusan itu kemudian.

Beliau berkata demikian selepas selesai mendengar hujahan antaranya daripada peguam mewakili Sisters In Islam (SIS), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak dan Majlis Peguam.

Panel itu dianggotai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli.

Turut menganggotai panel sama, Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri P Nalini, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.

Terdahulu Tengku Maimun menegaskan, isu dalam pendengaran petisyen bagi mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, bukan mengenai memburuk-burukkan agama Islam atau melemahkan kuasa Mahkamah Syariah.

Tengku Maimun berkata, isu yang timbul melalui sebahagian daripada petisyen itu adalah sama ada Dewan Undangan Negeri Kelantan (DUN) mempunyai kuasa untuk menggubal peruntukan yang dipertikaikan.

Beliau berkata, panel mengambil langkah membuat pemerhatian itu kerana begitu banyak yang diperkatakan oleh orang ramai dan kebanyakan versi adalah diputarbelitkan daripada isu sebenar.

Beliau berkata demikian ketika merujuk kepada kenyataan yang dibuat peguam Yusfarizal Yusoff yang mewakili Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu selaku peguam pemerhati, di luar mahkamah September lalu.

Perkara itu ditimbulkan oleh peguam Datuk Imtiaz Malik Sarwar yang mewakili pempetisyen, iaitu Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Nas­tasha Tengku Abdul Rahman terhadap Kerajaan Negeri Kelantan, di awal prosiding petisyen berkenaan.

Tengku Maimun berkata, semua pihak perlu memahami latar belakang kes dan menggesa terutama pihak terbabit secara langsung dalam petisyen itu supaya mengelak daripada menyebarkan maklumat yang diputarbelitkan bagi mengelakkan salah tanggapan dalam kalangan orang ramai.

“Kami ingin mengingatkan peguam bahawa anda terikat dengan etika profesion anda dan anda tahu adalah tidak wajar untuk membincangkan kes di forum awam, lebih-lebih lagi untuk mendedahkan fakta penuh kes.

“Kenyataan bahawa mahkamah syariah akan berkubur di Malaysia adalah tidak benar….peguam juga gagal mendedahkan fakta bahawa pempetisyen sebenarnya menimbangkan dua daripada 20 peruntukan sebenarnya dalam bidang kuasa negeri Kelantan untuk digubal bermakna mereka ini di bawah Mahkamah Syariah.

“Kami mengingatkan semua orang khususnya peguam untuk menegakkan undang-undang dan bukan untuk memainkan sentimen yang menghasut orang ramai,” katanya.

Related posts

Leave a Comment