Pemimpin BN usah terlalu ‘ssettok’

KEMAMAN 19 Nov. – Pemimpin Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya tidak terlalu ‘ssettok’ dengan pemilihan Menteri Besar Terengganu sebagai calon Pas Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman pada 4 Disember ini.

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar atau yang turut dikenali sebagai Dr Sam ketika mengingatkan demikian berkata, disebabkan terlalu ssettok, ia menimbulkan keadaan tidak tenteram .

“Pemimpin BN tidak perlu ‘ssettok’ apabila saya terpilih sebagai calon PRK Kemaman. Pimpinan tertinggi BN dan PH (Pakatan Harapan) terkejut sehingga menimbulkan perasaan tidak tenteram apabila saya dipilih sebagai calon.

“Keadaan tidak tenteram itulah yang menyebabkan ada pemimpin parti mencadangkan saya meletak jawatan sebagai Menteri Besar,” katanya pada program sembang santai bersama Dr Sam, di sini, hari ini.

Ssettok dalam dialek Terengganu dan Kelantan membawa maksud terkejut atau terkesan.

Khamis lalu, Ketua Penerangan UMNO, Azalina Othman Said mencabar Ahmad Samsuri untuk meletak jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu.

Cabaran itu dilontarkan Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), selepas Ahmad Samsuri diumum sebagai calon Pas untuk bertanding pada PRK Kemaman pada 2 Disember ini.

Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas dalam pada itu menegaskan tidak timbul isu Pas ketandusan pemimpin susulan pemilihannya sebagai calon, sebaliknya kepercayaan diberikan itu adalah suatu amanah daripada parti dan rakyat terutama pengundi di Parlimen Kemaman.

Pada PRK Kemaman, Ahmad Samsuri akan berdepan calon BN, Jeneral (B) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Sementara itu, Ahmad Samsuri mengingatkan pemimpin BN dan PH supaya bertanding dalam suasana tenteram dan relaks.

Beliau juga menegaskan kesibukan sebagai Menteri Besar Terengganu bukanlah penghalang untuk beliau terus menjaga amanah seluruh rakyat di Parlimen Kemaman.

Related posts

Leave a Comment