Kon Yeow elak main politik keterlaluan

TANJONG 19 Nov. – Sepanjang 37 tahun menjadi ahli DAP, Chow Kon Yeow mengelak daripada bermain politik yang keterlaluan sebaliknya lebih fokus untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada parti dan rakyat.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, kekuatannya adalah jujur, setia kepada perjuangan, suka tawarkan perkhidmatan terbaik, tidak suka bercakap banyak, tidak mahu kuat main politik dan fokus kepada penyampaian prestasi yang baik,

Justeru, Kon Yeow yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang berkata kepercayaan untuk memimpin kerajaan negeri bagi penggal kedua adalah kemungkinan berlandaskan kepada ‘track record’ beliau sejak 1986.

“Tahun ini genap 37 tahun saya menjadi ahli parti dan memang diberi banyak peluang berkhidmat kepada rakyat dan parti sama ada sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan juga Ahli Parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Tahunan Negeri DAP Pulau Pinang 2023, di sini hari ini yang dirasmikan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan turut dihadiri Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng.

Kon Yeow berkata pihaknya berjaya mencapai sebanyak 94 peratus manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan fokus ketika ini adalah untuk melaksanakan manifesto PRU15 agar ia menjadi kesinambungan kepada kecemerlangan kerajaan negeri.

Katanya, pentadbiran kerajaan negeri masih kekal untuk menjayakan misi ‘Penang2030’ dan berharap pasukan baharu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) akan bersama-sama memainkan peranan bagi merealisasikan misi tersebut.

“Semua pihak termasuk ahli parti serta kepemimpinan parti juga perlu memikul tanggungjawab demi memastikan kita kekal relevan sebagai parti pemerintah di Pulau Pinang,” katanya.

Sementara itu, Guan Eng dalam ucapannya berkata DAP merupakan sebuah parti ‘muda’ dan akan kekal menjadi parti muda dari segi idea dan pemikirannya termasuk dalam kalangan ahli veteran parti itu.

Katanya, parti itu perlu terus ‘menjana semula’ dan memperbaharui pelan penggantian yang lebih baik untuk pemimpin masa depan mereka dan dalam masa sama pemimpin DAP terutama yang memiliki jawatan dalam kerajaan tidak ‘membelakangkan’ parti itu dalam membuat sebarang keputusan.

Beliau berkata pilihan raya-pilihan raya sebelum ini (PRU15 dan PRN) menunjukkan rakyat lebih menyokong parti berbanding calon itu secara individu.

Justeru katanya, semua pemimpin dan ahli DAP perlu berdisiplin dan sentiasa mematuhi arahan parti manakala sebagai wakil rakyat, mereka harus mendengar segala keluhan rakyat dan memastikan penjawat awam melaksanakan segala dasar yang digariskan untuk manfaat semua pihak.

Related posts

Leave a Comment