Label dengan jelas kandungan gula

TANJONG 14 Nov. – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa supaya undang-undang pelabelan dipinda bagi memastikan pengilang melabelkan dengan jelas jumlah gula dalam makanan dengan bilangan sudu teh gula pada produk itu.

Pada masa yang sama, Iklan makanan dan minuman bergula tinggi dan makanan ringan lain di televisyen perlu dihentikan selain melancarkan kempen besar-besaran di media massa bagi mendidik orang ramai mengenai bahaya diabetes.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader dalam kenyataan sempena Hari Diabetes Sedunia hari ini juga menyarankan kerajaan mengenakan cukai lebih tinggi kepada restoran yang menyajikan makanan segera.

Ia susulan laporan bilangan pesakit diabetes semakin meningkat di negara ini terutama bagi individu dewasa berusia 18 tahun ke atas.

CAP juga meminta supaya penjualan makanan ringan di kantin sekolah dan penjajaan makanan dalam perimeter tetap di sekitar sekolah diharamkan supaya murid sekolah tidak terdorong untuk membeli makanan yang tidak sihat.

Di samping itu mesin layan diri yang mengeluarkan makanan ringan dan minuman manis dielakkan di kawasan seperti hospital, lapangan terbang dan sekolah.

dengan menyediakan air minuman dalam dispenser air di tempat-tempat ini.

Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019, didapati kelaziman diabetes dalam kalangan orang dewasa berumur 18 tahun ke atas meningkat daripada 11.2 peratus pada 2011 kepada 13.4 peratus pada 2015, kemudian meningkat lagi kepada 18.3 peratus pada 2019.

Diabetes di Malaysia dijangka terus meningkat susulan diet dan gaya hidup biasa iaitu diet yang kaya dengan lemak tepu dan karbohidrat halus serta mempunyai kesan buruk terhadap metabolisme.

Justeru, orang ramai dinasihati mengekalkan berat badan yang sihat serta aktif secara fizikal dengan sekurang-kurangnya 30 minit aktiviti berintensiti sederhana pada kebanyakan hari.

Mohideen berkata, lebih banyak aktiviti diperlukan bagi mengawal berat badan malah masyarakat digalak mengamalkan pemakanan sihat serta mengelak pengambilan gula dan lemak tepu.

Menurut laporan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) diabetes begitu berleluasa sehingga satu daripada setiap lima rakyat Malaysia didiagnos menghidapnya dan kanak-kanak seawal usia lima dan enam tahun disahkan menghidap Diabetes Jenis II.

Related posts

Leave a Comment