Datuk ‘botak’ didakwa ejen pujuk wakil rakyat PN sokong PM

KUALA LUMPUR 14 Nov. – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa terdapat seorang individu berpangkat Datuk yang bertanggungjawab memujuk empat Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) untuk beralih arah menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Angkatan Anak Muda Bersatu (Armada) itu berkata, perkara tersebut terbukti menerusi satu video tular yang diterima pihaknya baru-baru ini.

“Terdapat satu video menunjukkan identiti seorang lelaki botak yang memainkan peranan untuk menyogok dan mengugut Ahli Parlimen pembangkang untuk menyokong Perdana Menteri ke-10,” katanya.

Beliau mendakwa usaha memujuk Ahli Parlimen PN dilakukan secara profesional, oleh seorang ejen yang berkeliaran di Parlimen selama ini menerusi bukti rakaman video itu.

“Sebelum benda ini berlaku, kami sudah jumpa dan tidak ada tanda-tanda mereka akan memberi sokongan kepada kerajaan. Namun selepas itu mereka membuat sokongan secara seorang-seorang,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau turut mempersoalkan contoh kenyataan media yang sama dikeluarkan empat Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan.

Wan Ahmad Fayhsal mendakwa, contoh kenyataan sokongan itu juga sudah disiapkan kepada beberapa Ahli Parlimen PN lain termasuk dari Sabak Bernam dan Hulu Terengganu yang dipujuk menyatakan sokongan sama kepada Anwar.

Sebelum ini, empat Ahli Parlimen dari Bersatu iaitu  Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli) mengisytiharkan sokongan kepada Anwar.

Sementara itu, beliau mengesahkan satu laporan polis telah dibuat berhubung dakwaan wujud unsur habuan, umpan atau ugutan susulan tindakan beberapa Ahli Parlimen dari PN mengisytiharkan sokongan kepada Anwar.

Katanya, laporan itu dibuat oleh Armada Bersatu pada tengah malam tadi, manakala laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyusul dalam masa terdekat.

Jelas Wan Ahmad Fayhsal, laporan polis itu membuktikan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail pagi ini mengelirukan Dewan Rakyat apabila memberitahu tiada laporan dibuat sebelum ini.

“Menteri telah mengelirukan dewan kerana mengatakan tiada kes laporan sebab tu saya bangun dan sanggah kerana laporan polis telah dibuat Exco Armada pukul 12 pagi tadi di Balai Polis Dang Wangi.

“Kita minta pihak polis siasat dan ini bukan laporan palsu dan saya kecewalah dengan jawapan menteri tadi kerana dia penuh yakin tidak ada laporan polis.

“Saya hairan pegawai dia tidak buat kerja ke? Sedangkan dalam sistem sudah masuk dalam sistem pukul 1 pagi tadi,” katanya.

Saifuddin sebelum itu memberitahu Dewan Rakyat, lapiran terkini yang diterima pagi ini menunjukkan tiada satu pun laporan polis atau SPRM dibuat atas dakwaan wujudnya unsur habuan, umpan dan ugutan terhadap Ahli Parlimen pembangkang yang menyokong Perdana Menteri.

Susulan itu Wan Ahmad Fayhsal bangun memaklumkan satu laporan polis telah dibuat tengah malam tadi.

Saifuddin kemudiannya secara sinis mengucapkan syabas kepada Armada yang “bekerja sampai tengah malam” untuk membuat laporan polis.

“Hakikat polis menerima aduan menunjukkan polis profesional. Tiada masalah, tiada beza. Saya ulangi kesediaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis (buat siasatan).

“Ugutan membabitkan tugasan polis. Umpan dan habuan termasuk dalam territory (bidang kuasa) SPRM. Untuk menjawab pada pagi ini, saya meminta dua agensi itu memberi jawapan dan hingga saat ini, tiada satu pun laporan dibuat,” katanya.

Bagaimanapun, Saifuddin tetap memberi jaminan bahawa polis akan segera melakukan siasatan sekiranya terdapat laporan atau dakwaan individu, manakala akan dianggap fitnah terhadap kerajaan sekiranya tidak wujud elemen berkenaan.

“Pihak agensi dan penguat kuasa dalam kerajaan sedia untuk bertindak secara profesional bagi menangani sebarang kemungkinan,” tegasnya.

Related posts

Leave a Comment