Saman: Ramasamy berjaya kumpul RM1,523,187.38

TANJONG 9 Nov. –  Dana bagi membantu bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy, untuk membayar saman pendakwah bebas, Dr Zakir Naik, mencapai sasaran RM1,523,187.38 setakat pukul 11 pagi ini.

Berikutan itu kempen pendanaan awam atau crowdfunding yang dilancarkan bekas Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang itu ditamatkan.

Menerusi laman Facebooknya, beliau menyampaikan ucapan penghargaan dan berterima kasih kepada orang ramai yang memberi sokongan padu terhadap dirinya dengan menyertakan tanda pagar, #SolidarityWithProfRama.

“Kami telah mencapai sebanyak RM1,523,187.38 setakat jam 11 pagi. Terima kasih atas sokongan memberangsangkan.

“Pendanaan awam dari 2 November pada jam 2.30 petang hingga 9 November, jam 11pagi, 164 jam dan 30 minit. Kurang daripada tujuh hari,” tulisnya yang turut memaklumkan kutipan dana itu dihentikan serta merta hari ini.

Ramasamy menyifatkan kejayaan itu sebagai usaha hebat daripada para penyumbang daripada segenap lapisan masyarakat dan merupakan hadiah Deepavali terbaik buat beliau.

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada 2 November lalu memerintahkan Ramasamy membayar RM1.52 juta kepada penceramah berkenaan dalam tempoh 30 hari.

Susulan itu, Zakir dilaporkan akan menyerahkan sepenuhnya pampasan yang diterima itu untuk membantu rakyat Palestin di Gaza.

Ramasamy pula dilaporkan mahu merayu keputusan kes terbabit di Mahkamah Rayuan.

Pada Oktober dan Disember 2019, Dr Zakir memfailkan dua saman berasingan mendakwa Ramasamy mengeluarkan lima kenyataan memfitnahnya.

Pendakwah dari India itu mendakwa Ramasamy memfitnahnya pada 10 April 2016, dengan memanggilnya ‘syaitan’ menerusi media sosial Facebook.

Dr Zakir yang bertaraf Penduduk Tetap, turut berkata Ramasamy memfitnahnya dalam satu lagi kenyataan disiarkan portal berita pada 1 Oktober 2017 dengan mendakwa Malaysia melindungi sebagaimana yang didakwanya pelarian dari India.

Saman kedua Dr Zakir dibuat kerana mendakwa Ramasamy memfitnahnya apabila mengulas berhubung kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang disiarkan portal berita pada 8 November 2019.

Nnn

Related posts

Leave a Comment