Kematian ketiga di Brunei

PESAKIT terakhir daripada 141 kes yang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan Brunei Darussalam akibat jangkitan Covid-19 meninggal dunia pukul 7.35 malam semalam.

Menteri Kesihatan, Dr. Awang Md. Isham Jaafar pada sidang media  situasi terkini jangkitan Covid-19 petang ini berkata, pesakit, seorang lelaki tempatan berusia 67 tahun merupakan kes yang ke-122. 

Allahyarham dirawat di pusat itu sejak disahkan dijangkiti Covid-19 pada 28 Mac lalu selepas mengalami tanda-tanda jangkitan pada 23 Mac yang kemudiannya dimasukkan ke Unit Rawatan Intensif (ICU) pada 30 Mac.

Menurut Dr. Awang Md Isham, Allahyarham didapati negatif bagi SARS-CoV-2 berterusan sejak 10 Mei dan berada di ICU untuk menjalani rawatan perubatan intensif.

Kematian Allahyarham merupakan kes yang ketiga dan setakat ini Brunei Darussalam mencatatkan 141 kes positif Covid-19 dan daripada jumlah itu, 138 pesakit telah sembuh.

Selepas lebih sebulan, negara itu tidak mencatatkan sebarang kes baharu.

Sementara itu, sebanyak 31 orang sedang dikuarantin manakala 2,792  orang telah menamatkan tempoh kuarantin.

“Dalam tempoh 24 jam yang lalu juga, sebanyak 245 sampel diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal sejak Januari 2020 kepada 25,323  ujian,” katanya.

Related posts

Leave a Comment