4 ahli Parlimen Bersatu minta tukar tempat duduk

KUALA LUMPUR 9 Nov. –  Empat ahli Parlimen Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri  Anwar Ibrahim memohon tempat duduk mereka di Dewan Rakyat ditukar.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat Johari Abdul berkata beliau telah menerima surat daripada Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) hari ini.

Bercakap dalam sidang media di Parlimen hari ini, Johari berkata beliau akan melihat aturan dalam Dewan Rakyat sebelum membuat keputusan

“Saya akan hubungi mereka ketika Deepavali, akan ada pertemuan tak rasmi. Tengok macam mana, saya baru terima surat,” katanya.

Johari mengambil contoh, ahli Parlimen Muar Syed Saddiq (Syed Abdul Rahman), yang tidak mahu duduk di sebelah kerajaan dan meminta tempat duduk yang ‘lebih selesa’ selepas menarik sokongan kepada Perdana Menteri.

“Macam keluarga. Dulu mereka tidur di bilik tidur, sekarang mereka nak pindah ke ruang tamu,” seloroh Johari.

Sementara itu , Johari berkata kedudukan Syed Saddiq – yang disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas empat pertuduhan rasuah hari ini – tidak berubah sehingga proses undang-undang yang ada selesai sepenuhnya.

Katanya, selagi ahli Parlimen Muar itu belum menghabiskan proses undang-undang yang ada dia tidak perlu mengosongkan kerusinya.

“Saya rasa dia ada dua mahkamah lagi (yang boleh digunakan bagi merayu),” katanya merujuk kepada Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Related posts

Leave a Comment