SUBANG JAYA 9 Nov. – Bagi membersihkan namanya melalui proses mahkamah, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, hari ini mengumumkan mengosongkan jawatan Presiden MUDA berkuat kuasa serta-merta.
Syed Saddiq, 30 berkata, keputusan itu dibuat hasil mesyuarat bersama pimpinan MUDA yang berlangsung petang ini.
“Selepas berbincang, kami (pimpinan MUDA) membuat keputusan bahawa saya akan mengosongkan jawatan sebagai Presiden MUDA serta-merta sementara saya membersihkan nama melalui proses mahkamah.
“Jadi, jawatan Presiden akan dipangku Timbalan Presiden MUDA, Amira Aisya,” katanya pada sidang media di sini, petang ini.
Amirah Aisya Abd Aziz adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Puteri Wangsa, Johor.
Beliau sebelum itu dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta selepas didapati bersalah terhadap empat tuduhan pecah amanah, salah guna wang dan pengubahan wang haram dana ARMADA Bersatu.
Syed Saddiq turut memaklumkan tidak akan terbabit dalam politik MUDA sepanjang tempoh berdepan kes di mahkamah.
