KOTA KINABALU 15 Nov. – Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 menyaksikan 596 calon daripada 24 parti serta Bebas menawarkan diri bertanding di 73 kerusi selepas proses penamaan calon selesai di 25 Pusat Penamaan Calon (PPC).
Warisan satu-satunya parti yang bertanding di semua 73 kerusi manakala Bebas muncul sebagai kumpulan terbesar dengan 74 calon.
Menurut kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Parti Impian Sabah (PIS) yang sebelum ini terawal mengumumkan senarai calon menurunkan 72 calon manakala Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengemukakan 55 calon.
Ini diikuti Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) 46 calon, Barisan Nasional (BN) 45, Perikatan Nasional (PN) 42; Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) 40; Pertubuhan Kinabalu Proresif Bersatu (UPKO) 25; Pakatan Harapan (PH) 22;
Parti Kebangsaan Sabah (PKS) 20; Parti Kerjasama Anak Negeri (Anak Negeri) 17; Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) 16; Parti Bumi Kenyalang (PBK) 14; Parti Rumpun Sabah (Rumpun) 7; Parti Maju Sabah (SAPP) 6.
Parti Damai Sabah (SPP) 5; Perjuangan Rakyat (PR) 5; Pertubuhan Gemilang Anak Sabah (GAS) 3; Parti Bangsa Malaysia (PBM) 3; Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI) 3; Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) 1 dan Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah 1.
SPR turut memaklumkan bahawa pertandingan sehingga 14 penjuru berlaku dalam satu kawasan DUN iaitu Tulid, manakala 13 penjuru di empat DUN, 12 penjuru dua DUN, 11 penjuru enam DUN dan 10 penjuru sembilan DUN.
Lapan DUN menyaksikan pertandingan lapan penjuru, 10 DUN tujuh penjuru, 13 DUN enam penjuru, lapan DUN lima penjuru dan dua DUN empat penjuru.
Dari segi jantina pula, sebanyak 525 calon adalah lelaki dan 71 calon wanita bertanding.
Bagi pecahan umur pula, seramai 205 calon berusia 60 tahun ke atas, dengan statistik penuh 20–29 tahun sebanyak lapan calon; 30–39 tahun: 59 calon; 40–49 tahun: 146 calon; 50–59 tahun: 178 calon.
Calon tertua berumur 86 tahun, bertanding di N.40 Bingkor mewakili PKS manakala calon termuda pula berumur 24 tahun, bertanding di N.62 Silam, juga daripada PKS.
Grafik Bernama
