Tun M saran tubuh struktur rasmi SG4

KUALA TERENGGANU 2 Nov. – Empat negeri bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) – Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu- disaran menubuhkan struktur rasmi ‘State Goverment 4’ (SG4) bagi memulakan agenda pelaburan secara pantas.

Cadangan itu disuarakan bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, pada sesi pertemuan dengan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, dan kepemimpinan negeri, hari ini.

Pengerusi Mobilisasi Proklamasi Orang Melayu (Proklamasi), Khairuddin Abu Hassan, berkata Dr Mahathir mengadakan mesyuarat tertutup hampir sejam setengah dengan Ahmad Samsuri serta kepemimpinan Kerajaan Terengganu mengenai perancangan pembangunan ekonomi empat negeri terbabit.

“Pada mesyuarat itu, Tun M menekankan penubuhan struktur rasmi ‘SG4’ bagi memulakan agenda pelaburan di empat negeri, iaitu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu, secara pantas.

Kepimpinan ‘SG4’ mestilah berteraskan ‘business friendly state government’ (kerajaan negeri mesra perniagaan) bagi menarik lebih banyak FDI (pelaburan langsung asing) ke negeri-negeri terbabit.

“Keempat-empat negeri ini mestilah digabungkan sebagai satu badan untuk melaksanakan agenda pelaburan yang menguntungkan semua pihak.

Beberapa pelaburan telah dikenal pasti untuk ‘SG4’ memulakan perancangan pelaburan secara kolektif bagi memanfaatkan empat negeri bawah gabungan ‘SG4’,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Khairuddin berkata, mereka kemudian berkunjung ke kediaman Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, di Rusila, Marang, dan dijamu dengan makan tengah hari dan

sempat menunaikan solat zohor di Masjid Rusila serta meluangkan masa hampir sejam membincangkan pelbagai isu bersama Abdul Hadi.

“Dalam perjalanan pulang, Tun M sempat membuat lawatan ke kilang dua usahawan makanan tempatan, Adeqsue dan Muslim Food di Kuala Terengganu, bagi memberi sokongan moral ke arah mengembangkan lagi perniagaan mereka.

“Tun M juga singgah di kedai celup tepung Pok Nong Batu Rakit sebelum pulang ke Kuala Lumpur daripada lawatan kerja ke Terengganu,” katanya.

(Foto Fb MB Terengganu)

Related posts

Leave a Comment