Jokowi rasmi pecah tanah projek Nusantara

JAKARTA 1 Nov. – Presiden Joko Widodo, hari ini merasmikan upacara pecah tanah bagi pembinaan beberapa projek termasuk lapangan terbang, lebuh raya bertol dan hospital serta sebuah hotel di ibu negara baharu, Nusantara.

Projek utama Jokowi bernilai AS$32 bilion (RM152.67 bilion) itu adalah untuk memindah keluar pusat pentadbiran kerajaan dari ibu negara Jakarta yang sesak.

Minggu ini, Jokowi juga dijangka melancarkan 10 projek bernilai 12.5 trilion rupiah (AS$784 juta atau RM 3.74 bilion) ketika lawatannya ke Nusantara, yang sedang dalam pembinaan awal di tengah-tengah hutan pulau Borneo.

Menurut beliau, lapangan terbang seluas 347 hektar itu dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang Disember 2024, dengan kos keseluruhan 4.2 trilion rupiah (AS$263 juta atau RM1.25 bilion).

Jokowi yakin pembinaan lapangan terbang itu akan meningkatkan daya saing dan pertumbuhan ekonomi, serta mempercepatkan pembangunan ibu negara baharu.

Dalam pada itu, kerajaan menyasarkan hospital antarabangsa yang sedang dibina oleh rangkaian hospital Indonesia Mayapada untuk mula beroperasi pada separuh kedua tahun depan.

Jokowi juga meninjau kerja pembinaan di jalan bertol sepanjang 57 kilometer ke hab arang batu Balikpapan, yang dijangka digunakan mulai Jun tahun depan untuk memendekkan masa perjalanan.

“Selepas jalan bertol siap, kita hanya memerlukan kira-kira 50 minit sahaja berbanding dua jam sebelum ini,” katanya.

Pemaju hartanah Indonesia, Pakuwon Jati sedang membina sebuah hotel, blok pangsapuri dan pusat beli-belah.

Konsortium syarikat Indonesia seperti firma tenaga Adaro dan Barito Pacific, konglomerat Astra International dan firma hartanah Agung Sedayu Grup, melabur kira-kira 20 trilion rupiah di Nusantara.

Jokowi berkata, beliau akan menyempurnakan pecah tanah sembilan projek bulan depan, namun tidak memberikan butiran lanjut.

Bagaimanapun, beliau bergelut untuk menarik pelaburan swasta, dengan Belanjawan 2024 memperuntukkan 40.6 trilion rupiah (AS$2.6 bilion atau RM12.40 bilion) bagi pembinaannya.

(Foto FB Jokowi)

Related posts

Leave a Comment