Brunei Darussalam cecah 100,000 kes

BERAKAS 9 Mac – Brunei Darussalam merekodkan lapan kematian hari ini, tiga daripadanya disebabkan jangkitan Covid-19, manakala lima lagi tiada kaitan menjadikan jumlah keseluruhan 75 orang meninggal dunia.

Menteri Kesihatan Dr Md Isham Jaafar berkata, terdapat 11 kes kategori 4 iaitu memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi dan tujuh kes Kategori 5, memerlukan bantuan mesin pernafasan dan dirawat di Unit Rawatan Intensif.

Katanya, terdapat 3,155 kes baharu Covid-19 hari ini berbanding 3,984 semalam yang membawa kepada jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 100,173

Bercakap pada sidang media Situasi Terkini Jangkitan Covid-19 di sini hari ini, beliau berkata, daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 2,519 adalah hasil pengesanan daripada ujian ART yang dimuat naik ke aplikasi BruHealth.

Sebanyak 636 kes lagi adalah hasil daripada 4,756 ujian makmal RT-PCR.

Pada masa ini kata Dr Isham , kadar pengisian di Pusat-pusat Pengasingan di seluruh negara atau ‘bed occupancy rate’ adalah sebanyak 9.2 peratus  dengan 309 kes aktif sedang menjalani rawatan di pusat-pusat pengasingan.

Katanya, sebanyak 38,961 kes positif sedang menjalani pengasingan diri di rumah.

Sementara itu, sebanyak 4,106 kes sembuh dilaporkan hari ini yang membawa kepada jumlah kes pulih 60,748 manakala jumlah kes aktif adalah sebanyak 39,270.

Mengenai pencapaian Program Vaksinasi Kebangsaan, sehingga 8 Mac, sebanyak 57.3 peratus daripada keseluruhan penduduk di negara ini menerima tiga dos vaksin, manakala kadar satu dan dua dos masing-masing melebihi 94 peratus.

 

Related posts

Leave a Comment