Lagi wakil rakyat Bersatu sokong Anwar

LABUAN 30 Okt. – Seorang lagi wakil rakyat Bersatu yang menang atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Labuan, Suhaili Abdul Rahman dalam kenyataan hari ini berkata, sokongan dibuat setelah mengambil kira permasalahan rakyat Labuan yang berdepan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi serta gangguan bekalan air dan bekalan elektrik yang berterusan.

Sebelum ini, Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN Kuala Kangsar) juga memutuskan menyokong Anwar setelah meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya.

Suhaili turut menyatakan sokongan kepada Ketua Menteri Sabah dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Mohd Noor.

“Bagi mengelak sebarang keraguan, saya ingin menegaskan bahawa dengan menyatakan sokongan saya kepada kepimpinan Perdana Menteri dan juga kepemimpinan Ketua Menteri Sabah, saya akan terus taat, setia dan kekal sebagai ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Meskipun berkemungkinan akan berdepan dengan risiko sebarang tindakan disiplin daripada parti, namun saya bersedia menerimanya demi memastikan kebajikan rakyat Labuan dan pengundi-pengundi di kawasan saya terbela dari terus menjadi mangsa keadaan dan ketinggalan dalam pelbagai aspek pembagunan kerana perbalahan naratif politik seperti mana yang berlaku sekarang.

“Saya dengan ini menyokong dasar-dasar dan inisiatif-inisiatif kerajaan dalam hal-hal yang mengutamakan usaha-usaha memantapkan pembangunan, ekonomi dan kebajikan rakyat negara ini sehingga pilihan raya umum ke-16 akan datang,” kata beliau.

Suhaili berkata, keputusan beliau untuk menyokong Perdana Menteri adalah tanpa sebarang paksaan atau tekanan daripada mana-mana pihak dan melakukannya dengan seikhlas hati demi kepentingan rakyat Labuan

Pada Pilihan Raya Umum ke-15, Suhaili memperoleh 8,124 undi selepas mengalahkan Bashir Alias daripada Barisan Nasional dengan majoriti 708 undi.

Suhaili bekas Ketua UMNO bahagian Labuan yang pernah mewakili Barisan Nasional sebelum ini dilantik sebagai Ketua Penaja Bersatu Labuan pada 30 Ogos 2019.

Related posts

Leave a Comment