SEPANG 30 Okt. – Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin membidas pihak yang mengaitkan pemakaian pejuang pembebasan Palestin dengan fahaman ekstremisme dan keganasaan.
Beliau dipercayai merujuk kepada kenyataan Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming berikutan kenyataan beliau melalui Facebooknya itu turut mengaitkan dengan ‘roket’.
“Jika kain serban yang menutup wajah pejuang yang menentang pencerobohan dan kezaliman itu kau anggap ganas, lambang ‘roket’ pun boleh dianggap ganas.
Kepada siapa kau ingin lancar roketmu itu? Siapa yang kau mahu hancur dan letupkan? Aku pun ingin bertanya seperti kau bertanya,” tulis Dr Mohd Asri.
Terdahulu Kor Ming dalam laman Instagram, memuat naik gambar dua murid sekolah memegang senapang dan mesingan mainan dengan lagak seperti pejuang Palestin, Briged Al-Qassam.
Dilaporkan, dalam ruangan kapsyennya, beliau berkata, sekolah bukan tempat untuk konflik, fahaman ekstremisme dan keganasan, sebaliknya sifat manusiawi dan perasaan cinta keamanan perlu diketengahkan.
“Mereka yang salah guna kuasa dan bertanggungjawab wajib dikenakan tindakan disiplin,” kata Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan itu.
Dalam pada itu melalui satu hantaran lain di Facebooknya, beliau turut memuat naik tangkap layar hantaran di media sosial oleh Kor Ming mengenai isu tersebut.
Dr Mohd Asri turut menarik perhatian bagi memahami keadaan ini, pembaca boleh membaca ayat 118-120 Surah Ali ‘Imran.
“Maka kita akan faham keadaan ini. Peringatan Allah untuk kita. Jangan percaya kepada mulut manis yang berdusta, tapi percayalah kepada Kitab Allah, itulah panduan kita dalam kehidupan,” katanya.
