Usia calon Presiden, Naib Presiden Indonesia kekal

JAKARTA: Mahkamah Perlembagaan Indonesia menolak petisyen yang menuntut usia minimum bagi calon presiden dan naib presiden, diturunkan kepada 35 tahun, berbanding syarat kelayakan itu pada usia 40 tahun.

Berikutan keputusan itu, ia sekali gus menutup peluang kepada anak sulung Presiden Joko Widodo yang berusia 36 tahun untuk bertanding naib presiden pada pilihan raya Presiden tahun depan.

Ketua Hakim Negara, Anwar Usman, yang juga abang ipar Jokowi, mengetuai panel membabitkan sembilan hakim, dan menetapkan untuk menolak petisyen bagi menurunkan usia minimum kepada 35 daripada 40 tahun.

Menurut barisan hakim, penetapan had usia adalah di bawah kuasa ahli Parlimen dan petisyen itu tidak mempunyai ‘alasan mengikut undang-undang’.

Keputusan itu dibuat ketika kritikan semakin hebat berhubung dakwaan wujudnya usaha presiden untuk membina dinasti politik dan mengekalkan pengaruh jawatan, susulan penggal kepemimpinannya yang bakal tamat, tahun hadapan.

Indonesia akan mengadakan pilihan raya presiden dan perundangan secara serentak, 14 Februari depan.

Jokowi pada minggu lalu menepis soalan mengenai kritikan bahawa beliau sedang membina dinasti politik sebaliknya menegaskan pemilihan pemimpin harus diserahkan kepada rakyat.

Related posts

Leave a Comment