PBGN urus bencana secara berkesan

KUALA LUMPUR 16 Okt. –  Penubuhan Pusat Bencana Geologi Negara (PBGN) akan membolehkan pengurusan bencana dilaksanakan secara berkesan, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Katanya, ia bertujuan meningkatkan kesiapsiagaan dalam menangani impak keterancaman perubahan iklim global dalam mengurangkan kesan bencana, selain memperkukuh tahap keselamatan serta kesejahteraan rakyat.

“PBGN menyediakan khidmat kepakaran teknikal yang khusus dan cekap dalam bidang penilaian serta forensik bencana, geologi kejuruteraan, aplikasi teknologi satelit serta penderiaan jauh, analisis pemodelan serta rangkaian sistem amaran awal, data raya dan bidang berkaitan,” katanya.

Beliau menegaskan negara diunjur menanggung kerugian mencecah RM17 bilion dalam tempoh 25 tahun akan datang jika langkah mitigasi dan kesiapsiagaan pengurangan risiko bencana tidak dilaksanakan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini berhubung sejauh mana fungsi dan bidang PBGN bagi menangani impak keterancaman perubahan iklim di Malaysia.

Dalam pembentangan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bulan lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilaporkan berkata, PBGN akan ditubuhkan akhir tahun ini bagi memantau tahap keberkesanan sistem amaran awal bencana tsunami, banjir dan tanah runtuh.

Menjawab soalan tambahan Young Syefura Othman (PH-Bentong) berhubung perkembangan terkini penubuhan PBGN, Nik Nazmi berkata, penyediaan kertas penubuhan PBGN sedang dimuktamadkan di peringkat kementerian dan akan diangkat untuk persetujuan Jemaah Menteri.

Katanya, ia kemudian akan dirujuk ke Jabatan Perkhidmatan Awam untuk urusan selanjutnya.

“Seiring gerak kerja PBGN, Pelan Pengurusan Bencana Geologi Negara yang sedang dirangka bagi menggariskan perancangan strategik dan pelan tindakan untuk mencapai matlamat dan objektif PBGN akan disiapkan,” katanya.

Sejak 1923, katanya, negara merekodkan empat gempa tahap kuat, satu gempa tahap sederhana dan 87 gempa tahap lemah.

Nik Nazmi berkata, semua gempa tahap kuat direkodkan di Sabah, beberapa gempa tahap sederhana dan lemah di Sarawak, dan 70 kali gempa tahap lemah bagi tempoh 1984 hingga 2016 di Semenanjung.

Related posts

Leave a Comment