Vaksin bivalen Modena bantu hasil antibodi

SINGAPURA 22 Sept. – Vaksin bivalen Covid-19 oleh Moderna yang bakal digunakan di Singapura sebagai suntikan dos penggalak akan membantu menghasilkan antibodi terhadap varian Omicron BA.4 dan BA.5.!

Varian BA.1 dominan di Singapura semasa gelombang awal Covid-19 Omicron, namun jumlah kes BA.4 dan BA.5 sudah pun meningkat.

Menurut Ketua Pegawai Perubatan Moderna, Dr Paul Burton,  syarikat itu mempunyai dua dos penggalak – mRNA-1273.214 yang diterima Singapura, dan mRNA-1273.222.

Dos penggalak mRNA 1273.214 menyasarkan sebahagian besarnya versi asli dan varian BA.1. Ia diberi kelulusan di Singapura, Britain, Switzerland, Kesatuan Eropah, Korea Selatan, Jepun, Taiwan dan Australia.

Satu lagi dos penggalak menyasarkan varian BA.4 dan BA.5, dan hanya diberikan kelulusan di Amerika Syarikat.

Dr Burton berkata, vaksin bivalen yang diterima Singapura juga menghasilkan paras antibodi yang ‘sangat tinggi’ terhadap varian BA.4 dan BA.5.

Beliau berkata, kedua-dua dos penggalak ‘sangat baik’, dan ia bergantung kepada apa yang dimahukan sesebuah negara atau rantau itu.

Data daripada syarikat itu ‘sangat memberi jaminan’ bahawa dos penggalak BA.1 juga mewujudkan paras antibodi yang tinggi terhadap BA.4 dan BA.5, kata Dr Burton.

Awal bulan ini, Penguasa Sains Kesihatan (HSA) Singapura memberi kelulusan sementara kepada vaksin dos penggalak bivalen Moderna, yang menyasarkan kedua-dua versi asli dan varian BA.1 coronavirus.

HSA menyatakan data awal daripada analisis tinjauan mencadangkan dos penggalak BA.1 boleh merangsang antibodi terhadap varian-varian lain, termasuk BA.4 dan BA.5 Omicron serta Alpha, Beta, Delta dan Gamma.

Related posts

Leave a Comment