Rampasan dadah terbesar di Thailand

BANGKOK 29 Sept. –  Polis Thailand merampas lebih 15 juta pil methamphetamine dan produk haram lain bernilai 300 juta baht (RM38.42juta) yang disifatkan oleh pihak berkuasa sebagai satu tangkapan dadah terbesar setakat tahun ini.

Rampasan termasuk 420 kilogram dadah kristal methamphetamine serta heroin itu dilakukan di sebuah rumah di wilayah Nakhon Pathom, utara ibu kota Bangkok.

Menurut Menteri Keadilan Tawee Sodsong, susulan rampasan itu, polis menahan empat orang yang dikaitkan dengan kes itu.

“Ini adalah salah satu tempat penyimpanan dadah terbesar di tengah Thailand yang berada di kawasan komuniti,” kata Tawee Sodsong

Ketua polis, Jeneral Polis Torsak Sukvimol berkata nilai keseluruhan adalah 300 juta baht dan memaklumkan dadah berkenaan dihasilkan di negara jiran.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam laporan awal tahun ini, menyatakan pengedaran dadah sintetik di Asia Timur dan Tenggara semakin meningkat dengan jumlah tinggi methamphetamine masih dihasilkan dari wilayah Segitiga Emas di mana sempadan Myanmar, Thailand dan Laos bertemu.

Related posts

Leave a Comment