SINGAPURA 29 Sept. – Sebanyak 2.5 juta rakyat Singapura akan menerima bayaran tunai tambahan sehingga $200 pada Disember ini, iaitu tambahan daripada bayaran tunai Pakej Jaminan (AP) yang diumumkan semasa Belanjawan 2023.
Bayaran ini adalah sebahagian daripada Pakej Bantuan Kos Sara Hidup sebanyak $1.1 bilion yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Lawrence Wong, semalam.
Secara keseluruhan, di bawah pakej itu, isi rumah Singapura yang mempunyai pendapatan dinilai (AI) tidak melebihi $34,000, boleh mendapat bayaran tunai sehingga $800 pada Disember 2023.
Menurut Wong, langkah itu adalah senahagian daripada usaha kerajaan membantu rakyat Singapura menangani inflasi yang tinggi dan kebimbangan berkenaan kos sara hidup.
“Saya tahu ramai rakyat Singapura bimbang tentang prospek ekonomi keseluruhan, kenaikan harga, dan kesan ke atas kos sara hidup mereka.
“Pakej ini menyediakan bantuan untuk semua isi rumah Singapura, dengan lebih banyak sokongan buat golongan berpendapatan rendah dan sederhana,,” kata Menteri Kewangan itu.
Pakej itu, yang termasuk bayaran tunai, baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC), rebat Perkhidmatan dan Penyenggaraan (S&CC), rebat U-Save, dan subsidi & baucar pengangkutan awam (PTV), untuk menyokong keluarga berpendapatan rendah dan sederhana.
Setiap isi rumah dijangka menerima baucar CDC tambahan sebanyak $200 pada 2024, yang boleh ditebus secara digital mulai Januari 2024 dan ini membawa jumlah keseluruhan baucar CDC $500.
Bagi menghadapi kenaikan harga air yang diumumkan sebelum ini, kerajaan akan memberikan $20 rebat U-Save tambahan pada setiap suku tahun untuk isi rumah Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang layak sepanjang 2024 hingga 2025.
Secara keseluruhan, kira-kira 950,000 isi rumah HDB akan menerima tambahan $160 rebat U-Save pada 2024 dan 2025.
