PKPB bantu kekang penularan

PUTRAJAYA 7 Nov.- Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dapat membantu mengekang penularan Covid-19 di negara ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau yang menolak tanggapan PKPB gagal mengekang penularan wabak sebaliknya berkata,kaedah itu berjaya menurunkan kadar nilai kebolehjangkitan (Rt) atau R-naught (R0) daripada 2.2 pada permulaan gelombang ketiga Covid-19 kepada 1 ketika ini.

“Kalau kita lihat dari permulaan gelombang ketiga dan dalam tempoh dua minggu (PKPB dilaksanakan), langkah itu telah berjaya kurangkan kadar kebolehjangkitan,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19.

Katanya, lonjakan 1,755 kes yang direkodkan semalam disebabkan Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan saringan di Pusat Tahanan Sementara di Tawau dan Penjara Sandakan, Sabah serta di Penjara Seberang Perai, Pulau Pinang.

“Sebelum ini kita ada dua lonjakan kes iaitu pada 24 dan 26 Oktober kerana KKM laksanakan saringan di Penjara Kepayan, Sabah,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata kaedah PKPB dilaksanakan ketika ini bagi mengimbangi sektor kesihatan dan ekonomi, tetapi pada masa sama kerajaan perlu memperketatkan lagi sektor sosial termasuk kawalan rentas sempadan negeri dan daerah.

Cabaran kita ialah dalam kita mengawal dan memperketat sektor sosial iaitu kita lihat dua tiga hari lepas ramai yang rentas daerah dan sempadan negeri, dari zon merah ke zon hijau.

“Kita membenarkan sektor ekonomi dengan lebih memperketatkan lagi sektor sosial, pelajaran dan sukan. Mungkin kita perlu memperhalusi tindakan kita supaya KKM dapat menjalankan aktiviti kesihatan awam, saringan komuniti dan sebagainya,” katanya.

Related posts

Leave a Comment