Contohi akhlak Rasulullah SAW dalam berbicara

PUTRAJAYA 28 Sept. –  Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengajak rakyat mencontohi akhlak Rasulullah SAW dalam membicarakan kebenaran serta menjauhi fitnah, kata dusta dan pembohongan.

Baginda bertitah, keperibadian Rasulullah sebagai insan mulia dan seorang pemimpin amat terserlah selain memiliki sifat tawaduk yang tinggi dan tidak suka dipuja.

“Setiap baris tutur kata baginda disulami dengan penuh kesantunan dan memancarkan keperibadian mulia, serta rasa hormat kepada teman bicara dan tidak pernah menuturkan tipu daya, apatah lagi nista kepada pengikut mahu pun penentangnya.

“Justeru, marilah kita menerapkan akhlak mulia dalam pertuturan dengan membicarakan kebenaran, bersikap jujur serta menjauhi fitnah, kata dusta dan pembohongan,” titah Seri Paduka pada sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan 1445H/2023 di sini, hari ini.

Turut mencemar duli, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan isteri,  Dr Wan Azizah Wan Ismail serta barisan Jemaah Menteri.

Al-Sultan Abdullah bertitah, ajaran Islam yang dibawa Rasulullah SAW mencakupi pelbagai aspek kehidupan dalam mengemudi dan memerintah sebuah negara dengan pelbagai puak dan agama serta spektrum kedudukan sosio-ekonomi yang berbeza.

Malah, sirah Rasulullah SAW mencerminkan kepakaran baginda dalam mentadbir sebuah negara.

“Dari aspek ekonomi, baginda memberi tumpuan kepada pengurusan sumber dan agihan kekayaan secara cekap, mempelbagaikan sektor ekonomi dan menitikberatkan kepentingan sosial selain merangka program untuk meningkatkan taraf hidup serta sosio ekonomi rakyat.

“Baginda tidak segan silu mendekati golongan terpinggir dalam kalangan mereka yang miskin, lemah dan kurang berada selain berusaha keras membawa golongan ini keluar daripada kesempitan hidup,” titah baginda.

Rasulullah SAW juga titah baginda tegas dalam memelihara integriti dan akauntabiliti selain amanah yang digalas, tidak langsung dicemari semata-mata untuk memenuhi kepentingan peribadi.

“Rasulullah SAW sentiasa berpegang teguh kepada prinsip keadilan, dalam semua bentuk urusan negara dan paling utama dalam memelihara kemaslahatan ummah.

“Lantaran itu, pada pagi yang penuh bermakna ini, beta menyeru supaya kita terus berpegang kepada tuntutan Allah SWT dan ajaran yang dibawa Rasulullah SAW.

“Dengan yang demikian, kita akan dapat membangunkan sebuah negara yang bertamadun dan berjaya, harmoni serta sejahtera, dengan rakyat yang menjiwai sifat Karamatul Insan,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah juga optimis Malaysia akan mencapai puncak kejayaan hakiki apabila syariat Islam dan nilai murni serta ketinggian akhlak yang dibawa Rasulullah SAW menjadi tatanan tadbir urus negara.

“Maqasid syariah perlu dijadikan kerangka asas dalam penyampaian perkhidmatan supaya kemaslahatan rakyat yang menjadi tanggungjawab kerajaan, dapat terus dipelihara,” titah baginda.

Related posts

Leave a Comment