KUCHING 28 Sept. – Selepas lebih dua bulan bercuti rehat susulan rawatan di luar negara, Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud tampil di khalayak pagi ini bagi menyertai rakyat pada perhimpunan dan perarakan Maulidur Rasul peringkat negeri.
Ini merupakan kemunculan pertama sejak dilaprkan sakit ketika berada di luar negara dan mendapatkan rawatan di sebuah hospital.
Beliau bersama isteri, Toh Puan Ragad Kurdi Taib hadir di Padang Merdeka di sini, kira-kira pukul 8.30 pagi bagi menyertai rakyat Sarawak pada perhimpunan dan perarakan melibatkan lebih 10,000 orang.
Hadir sama, Premier Sarawak, Abang Johari Abang Openg dan Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam Sarawak, Dr Abdul Rahman Junaidi.
Seramai 10,991 peserta mewakili 248 kontinjen pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sekolah menyertai program berkenaan yang berlangsung dalam hujan renyai-renyai.
Sementara itu, Abang Johari dalam ucapannya berkata, pentadbiran kerajaan Sarawak menjadikan perjuangan Nabi Muhammad SAW sebagai contoh untuk membawa kemakmuran masyarakat yang berbilang kaum di negeri ini.
Katanya, ketokohan Rasulullah yang penuh integriti dan berwawasan mendorong kepada pentadbiran kerajaan yang baik.
“Kerajaan Sarawak sentiasa memastikan keadilan ditegakkan dalam kalangan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama demi membangunkan negeri dalam keadaan aman dan makmur,” katanya.
Abang Johari berkata pentadbiran kerajaan yang didasari Piagam Madinah memainkan peranan penting untuk mengendalikan masyarakat Islam dan orang bukan Islam di negeri ini.
Katanya, piagam yang turut dikenali sebagai Perlembagaan Madinah itu memberi penekanan kepada keadilan untuk semua tanpa mengira agama terutamanya dalam urusan pentadbiran.
“Piagam itu tercatat dalam sejarah dunia sebagai satu dokumen perjanjian yang mencerminkan kemuliaan sifat Nabi Muhammad SAW dalam hubungan antara agama,” katanya.
