Guna kepakaran Braille sebar syiar Islam

PUTRAJAYA 28 Sept. – Kepakaran dalam Braille membantu Zamzuri Ghani, penerima anugerah Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan tahun ini menyebarkan syiar Islam kepada golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan di negara ini.

Beliau yang juga OKU penglihatan aktif dalam penerbitan dan pengedaran al-Quran Braille dan Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Braille, selain menganjurkan kelas pengajian al-Quran Braille serta fardu ain.

Anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan berusia 48 tahun itu turut terbabit dalam mewujudkan 58 bahan bacaan Islamiah kepada OKU penglihatan.

Pengurus Operasi Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam (PERTIS) itu menyediakan buku teks di bawah Kementerian Pendidikan yang menjadi rujukan pelajar OKU penglihatan.

Zamzuri menerima anugerah yang dikurniakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1445 Hijrah/2023 Masihi, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini hari ini.

Zamzuri ketika ditemui, tidak menyangka menerima anugerah yang begitu besar dan menganggapnya sebagai pengiktirafan untuk golongan OKU dan PERTIS.

“Kalau kira memang sumbangan saya tidak besar tetapi alhamdulillah, kejayaan ini membuktikan pentingnya golongan OKU dalam menyebarkan syiar Islam,” katanya.

Bapa kepada lima anak itu aktif membantu OKU penglihatan mengenai Islam dan membaca al-Quran melalui PERTIS sejak 2001.

“Pengajaran al-Quran menggunakan Braille amat membantu terutama OKU penglihatan berusia 18 tahun untuk menghafal,” katanya.

Sementara itu, lima lagi penerima Anugerah Maulidur Rasul SAW adalah Presiden Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa,  Kamarudin Abdullah dan bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (1994-2000), Misnu Taha.

Aktivis kebajikan haiwan,  Dr Mhd Nordin Mohd Nor; Yang Dipertua Persatuan Falak Syar’i Malaysia, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer dan bekas penjawat awam, Shaariah Dahman, turut di beri Anugerah Maulidur Rasul SAW.

Sementara itu, bekas Pemangku Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof  Dr Syed Othman Syed Husin diumumkan sebagai penerima Anugerah Perdana sempena Maulidur Rasul SAW tahun ini.

Dr Syed Othman berkata anugerah diterimanya itu akan menjadi pemangkin untuk dirinya lebih aktif menyebarkan dakwah Islam kepada masyarakat.

“Saya sebenarnya tidak terfikir diberikan anugerah berkenaan, ia adalah anugerah daripada Allah SWT dan saya akan berikan perkhidmatan baik kepada masyarakat,” katanya.

Related posts

Leave a Comment