Solat Aidilfitri ikut giliran

TANJONG 12 Mei – Solat sunat Hari Raya Aidilfitri di Pulau Pinang boleh dibuat secara pengggiliran susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)  berkuat kuasa hari ini, demikian menurut Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) .

Dalam satu kenyataan JHEAIPP, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak dan perbincangan Bersama Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, dan mufti, Dr. Wan Salim Wan Mohd.

Menurut JHEAIPP, kehadiran Jemaah di masjid dan surau dibuat secara penggiliran dengan menetapkan tiga sesi.

Sesi pertama akan bermula dari pukul 8.30 pagi hingga 9.15 pagi, diikuti sesi kedua, 9.45 pagi hingga 10.30 pagi dan seterusnya sesi ketiga jam 11 pagi hingga 11.45 pagi.

“Jemaah perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat seperti mana yang ditetapkan dalam Garis Panduan Terkini yang berkuat kuasa 12 Mei 2021.

“Imam yang ditentukan oleh pihak masjid atau surau hendaklah imam yang berlainan bagi setiap sesi solat” menurut kenyataan itu.

Tempoh masa solat untuk setiap sesi adalah selama 45 minit.

Selang masa 30 minit sebelum bermulanya sesi solat seterusnya adalah bertujuan untuk membolehkan proses sanitasi tempat dilakukan dan sebagai persediaan jemaah untuk masuk saf solat sesi seterusnya.

“Jemaah juga diminta segera pulang tanpa ada perhimpunan di dalam atau luar kawasan masjid atau surau selepas selesai solat setiap sesi,” menurut kenyataan itu lagi.

Dengan keputusan itu, lebih ramai jemaah berpeluang untuk solat memandangkan sebelum ini masjid hanya mengehadkan 50 dan surau 20

Related posts

Leave a Comment