Laporan nahas pesawat 60 halaman

KUALA LUMPUR 15 Sept. – Laporan awal setebal 60 halaman berhubung nahas pesawat Beechcraft Premier 1 yang mengorbankan 10 nyawa di Bandar Elmina, Shah Alam Ogos lalu, boleh dibaca di laman sesawang Kementerian Pengangkutan (MoT).

Bermula dengan pengenalan dan sinopsis, laporan nahas 17 Ogos yang melibatkan lapan individu dalam pesawat itu turut merekodkan fakta mengenai pesawat dan tragedi menyayat hati itu, teknik penyiasat dan diakhiri rumusan serta hasil siasatan.

Kandungan lain dalam laporan siasatan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) MoT itu ialah punca tragedi berkenaan, data nyahpecutan dan kebakaran selepas kemalangan.

Pesawat ada sijil kelayakan, diselenggara dengan baik

Hasil siasatan awal mendapati pesawat mempunyai sijil kelayakan udara sah dan diselenggara mengikut peraturan, juga mempunyai lesen dan layak untuk melakukan penerbangan mengikut peraturan sedia ada.

Pesawat berkenaan bagaimanapun tidak dapat diselamatkan kerana magnitud daya nyahpecutan (deceleration force) dan kebakaran selepas kemalangan.

Kejadian berlaku pada waktu siang dengan jarak penglihatan yang jelas sehingga lebih 10 kilometer dan keadaan meteorologi yang baik.

“Tiada bukti ketidaupayaan atau faktor fisiologi yang menjejaskan prestasi kru penerbangan. PIC dilesenkan dan layak untuk penerbangan mengikut peraturan sedia ada,” menurut laporan berkenaan.

Hubungi menara kawalan LTSAAS

Hasil siasatan juga mendapati juruterbang pesawat itu sudah menghubungi menara kawalan untuk mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang, pada jam 2.47 petang.

Pada jam 2.48 petang, kebenaran untuk mendarat di landasan 15 diberikan dan dalam beberapa saat, pesawat Beechcraft Premier 1 itu menerima maklum balas berkenaan.

Bagaimanapun, selepas itu tiada transmisi radio kedengaran dari pesawat itu sebelum nahas dilaporkan hingga mengorbankan 10 nyawa.

Pesawat membelok ke kanan

Berdasarkan laporan itu, data mendapati pada jam 2.47 petang, pada ketinggian 2,600 kaki, pesawat itu berdepan pengurangan kelajuan dan penurunan.

Dalam tempoh dua minit, iaitu pada jam 2.49 petang, pada ketinggian 1,025 kaki, pesawat itu mula membelok ke kanan dan berterusan hingga berada pada ketinggian 550 kaki, yang menjadi penghantaran data terakhir direkodkan.

Laporan awal merumuskan ground speed semasa pusingan kanan pesawat itu adalah antara 146 dan 154 knot.

Tiada bulu burung, sisa unggas pada struktur pesawat

Sementara itu, tiada objek asing, bulu burung, sisa unggas atau mana-mana bahan ditemui pada mana-mana struktur rangka pesawat.

Menurut laporan awal berkenaan, keseluruhan pesawat habis terbakar dan kedua-dua sayap serta struktur menegak penstabil tertanggal daripada rangka kapal terbang itu.

Ia juga memaklumkan, semua penjuru pesawat bersama sisa kawalan penerbangan, sayap dan permukaan ‘spoiler’ berjaya ditemui.

Tiada juga objek asing, bulu burung atau mana-mana bahan ditemui dalam komponen enjin kanan pesawat berkenaan.

Enjin sebelah kanan pesawat terpecah tiga

Siasatan mendapati enjin sebelah kanan pesawat terpecah kepada tiga segmen berbeza, iaitu kipas; pemasangan sarung kipas dengan bilah tekanan perantaraan (IP) dan alat pemampat tekanan tinggi serta bahagian panas.

Laporan awal menjelaskan siasatan turut mendapati alat penghidup, Unit Hidromekanikal (HMU) dan kotak gear, semuanya sudah tercabut.

Bagaimanapun, injap tekanan rendah (LP) masih kekal sebahagiannya pada kipas yang terpisah daripada enjin, manakala sisa-sisa pemutar masih ada di tempatnya dan injap LP terpisah serta dilihat terpusing ke arah bertentangan daripada arah putaran asal.

2 hari kumpul bahagian badan mangsa, tisu biologi

Mengenai mangsa nahas, pasukan siasatan forensik mengambil masa selama dua hari bagi mengumpulkan semua bahagian badan dan tisu biologi di tapak nahas pesawat berikutan pencahayaan yang kurang baik pada waktu malam.

Pada hari pertama nahas dan selepas kawasan kejadian diisytiharkan selamat, pasukan mula mencari kedudukan badan dan tisu biologi untuk ditandakan sebelum dibawa keluar.

Selepas berjaya mengumpul semua tisu biologi, ia dibawa ke Jabatan Forensik Perubatan, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang untuk pengecaman lanjut dan bedah siasat.

Dilaporkan juga, jarak antara hentaman pertama pesawat di darat dan mayat paling jauh ditemui adalah kira-kira 100 meter, manakala serpihan utama pesawat yang musnah ditemui kira-kira 73 meter dari hentaman pertama pesawat di darat.

Related posts

Leave a Comment