Jangan terpengaruh ‘politik beracun’

ANCHORAGE: Dalam usahanya menyemarakkan kembali perpaduan selepas serangan maut 11 September, 22 tahun lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menggesa rakyatnya tidak terpengaruh dengan ‘politik beracun, percanggahan dan perpecahan’,

Katanya, tidak sepatutnya tragedi pada 2001 digunakan untuk mengingatkan mengenai kuasa yang menyatukan negara, tetapi itulah cara sebenar menghormati mereka yang tewas pada 9/11.

Beliau berkata demikian di hadapan kira-kira 1,000 anggota tentera AS di Pangkalan Elmendorf-Richardson di Alaska.

Biden bersama isterinya, Jill; Naib Presiden, Kamala Harris dan suaminya, Doug Emhoff, serta komander tentera AS menyertai beberapa acara berasingan bagi mengingati mereka yang terkorban dalam serangan 11 September dan perang di Afghanistan yang berlaku.

Pada 11 September 2001, tiga pesawat awam yang dirampas melanggar menara berkembar Pusat Dagangan Dunia New York dan Pentagon sehingga membunuh hampir 3,000 orang.

Pesawat keempat terhempas di sebuah padang di Pennsylvania selepas penumpang berjaya menumpaskan perampas.

Biden menghadiri acara di Alaska kerana beliau dalam perjalanan pulang dari perjalanan lima hari ke India dan Vietnam.

Keputusannya untuk mengadakan acara itu di Alaska dan bukannya Washington atau New York, adalah berlainan daripada amalan biasa presiden terdahulu.

Dengan 14 bulan lagi sebelum pilihan raya presiden 2024, kenyataannya turut diselit mesej politik.

Biden mengecam ‘peningkatan kebencian, ekstremisme dan keganasan politik’ di AS dan terdapat bukti pengaruh itu sedang meningkat ketika negara terbabit bergelut dengan peningkatan keganasan politik secara berterusan sejak 1970-an.

Harris dan pegawai lain pula menyertai keluarga mangsa tragedi di Memorial 9/11 di New York, yang menempatkan monumen bangunan yang runtuh.

Turut hadir pada acara di New York ialah Gabenor Florida, Ron DeSantis, yang juga calon presiden mewakili parti Republikan bagi pemilihan 2024.

Related posts

Leave a Comment